Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan pihaknya akan mengenakan caj tambang buat penumpang warga asing yang menaiki bas GoKL.
“Caj ini akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan empat laluan di sekitar pusat bandar iaitu laluan 01 (hijau), laluan 02 (ungu), laluan 03 (merah) dan laluan 04 (biru). Transaksi pembayaran adalah tanpa tunai iaitu melalui kad Touch ‘n Go, kod QR, kad kredit atau debit.
“Manakala bagi warganegara Malaysia yang menggunakan MyKad yang mempunyai sistem Touch ‘n Go, dikehendaki membuat pendaftaran MyKad tersebut bagi menikmati perkhidmatan percuma. Perkhidmatan bas GoKL ini adalah percuma untuk semua kanak-kanak berusia 12 tahun dan kebawah,” kata DBKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut DBKL lagi, kaunter pendaftaran bagi pemegang MyKad akan dibuka bermula pada 1 Disember ini di tiga lokasi iaitu hentian bas KLCC, hentian akhir Titiwangsa (Pekeliling) dan hentian akhir Pasar Seni, dari jam 7 pagi hingga 12 tengahari dan 2 petang hingga 7 malam. Manakala kaunter yang sama juga akan dibuka setiap hari Rabu mulai 6 Disember ini di Lobi Menara DBKL 1 dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari dan 2 petang hingga 4 petang.
Walau bagaimana pun, DBKL tidak memaklumkan caj tambang yang bakal dikenakan untuk penumpang warga asing.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.