Seramai 2,360 individu dikenakan mata demerit di bawah Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) antara Januari hingga Oktober lalu, dengan 393 daripadanya digantung lesen kerana melakukan kesalahan terjadual dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan, daripada jumlah itu seramai 1,966 pemegang lesen dikenakan amaran iaitu dikenakan mata demerit kali pertama, laporan Harian Metro.
“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, sejumlah 2,360 individu dikenakan mata demerit di bawah Kejara dengan enam pemegang lesen P dibatalkan lesennya. Bagi pemegang lesen biasa, seramai 333 orang dikenakan penggantungan kali pertama iaitu selama lapan bulan.
“Penggantungan kali kedua selama 10 bulan melibatkan seramai 49 orang. Penggantungan kali ketiga selama 12 bulan pula membabitkan seramai lima orang,” katanya pada sidang media sejurus Ops Patuh Bersepadu 2023 JPJ-JSPT di Plaza Tol Senawang, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) malam tadi.
Dalam Ops Patuh Bersepadu 2023 JPJ-JSPT yang dilaksanakan bagi tempoh 1 hingga 29 November lalu, sebanyak 719,766 kenderaan diperiksa dan sebanyak 122,208 notis dikeluarkan kepada pemandu yang masih belum mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Kesalahan teknikal mencatatkan saman paling tinggi iaitu 28,192 notis atau 23% diikuti kesalahan membabitkan lesen sebanyak 28,039 juga 23%,” katanya.
Lokman berkata, berdasarkan pemerhatian hasil pemeriksaan dalam tempoh 29 hari Ops Patuh Bersepadu 2023 itu, JPJ mendapati tahap pematuhan terutamanya kenderaan komersial, adalah berada pada tahap yang masih rendah.
“JPJ juga turut mengambil tindakan tegas kepada pemandu warga asing yang mana sebanyak 5,811 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.