Chery telah membuka pusat 4S di Kuantan, yang merupakan fasiliti pertama seumpamanya di Pantai Timur. Pusat 4S berkenaan dikendalikan oleh Evenergy Auto dan berlokasi di Kawasan Perindustrian Semambu, dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada hujung minggu lalu.
Sewaktu pelancaran pusat 4S terbabit, Chery turut mempertontonkan Omoda E5, pertama kali dipamerkan di bilik pameran. Versi elektrik bagi SUV Omoda 5 telah dipertontonkan kepada pihak media pada minggu lalu dan dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada suku pertama (Q1) tahun 2024. Pesaing bagi BYD Atto 3 Extended Range ini ditawarkan dengan jarak gerajk 430 km (WLTP) dengan dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) 61 kWh, di mana motor elektrik hadapannya menghamburkan kuasa 224 PS dan tork 340 Nm. Pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 7.6 saat.
Bateri tersebut boleh dicas dengan sistem AC 9.9 kW atau pengecas pantas DC80 kW yang boleh memenuhkan kuasa dari 0-85% dalam masa 35 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW. Perincian penuh mengenai Omoda E5 boleh DIBACA DI SINI.
Sementara itu, mereka yang berada di ibu kota Pahang dan sekitarnya boleh menantikan lebih banyak pengecas EV. “Sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan untuk memasang 160 stesen pengecas menjelang tahun 2025 akan mempercepatkan lagi penggunaan kenderaan elektrik dalam kalangan rakyat Pahang,” kata MB dalam majlis tersebut.
GALERI: Chery Omoda E5 EV di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.