Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), selaku pengendali perkhidmatan rel dan bas terbesar negara telah mencatatkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam yang konsisten dengan hampir 1.1 juta jumlah penggunaan sehari setakat 30 November 2023.
Daripada jumlah itu, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) yang merangkumi perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang mencatatkan purata penggunaan harian sebanyak 835,119, manakala purata penggunaan perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) adalah sebanyak 258,710 pengguna. Angka penggunaan harian tertinggi adalah 1,200,433 pengguna yang telah dicatatkan pada 22 November 2023.
Prasarana berkata, ia merupakan angka tertinggi penggunaan harian perkhidmatan-perkhidmatan kendalian Prasarana yang dicatatkan semenjak negara dilanda pandemik COVID-19. Pada awal tahun 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Prasarana turut berkata, inisiatif-inisiatif berterusan yang diambil oleh pihaknya bersama Rapid Rail dan Rapid Bus bagi mempertingkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhannya, termasuk dari segi ketersediaan perkhidmatan dan keadaan fasiliti serta kemudahan awam, telah menyumbang kepada peningkatan pengguna harian yang konsisten.
Buat masa ini, pihak Rapid Rail sedang dalam usaha berterusan bagi menambahbaik perkhidmatan rel dalam memastikan perjalanan yang lancar tanpa gangguan bagi penumpang di kesemua laluan kendaliannya.
“Semenjak bulan September tahun ini, Rapid Rail telah memulakan pengoperasian empat buah tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek KLAV27 (Kuala Lumpur Additional Vehicle). Baki 15 buah tren akan diterima secara berperingkat sehingga bulan Disember 2024. Pada ketika ini, LRT Laluan Kelana Jaya secara purata beroperasi dengan 48 buah tren dengan kekerapan purata 3 minit,” kata Prasarana.
Manakala bagi penggunaan MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Kajang juga menunjukkan angka yang memberangsangkan. Purata penggunaan MRT Laluan Putrajaya yang dilancarkan sepenuhnya pada bulan Mac tahun ini adalah sebanyak 127,872 pada bulan November, berbanding 122,720 pada bulan sebelumnya.
MRT Laluan Kajang pula mencatatkan purata penggunaan harian seramai 225,705 pada bulan November, satu peningkatan daripada purata penggunaan harian sebanyak 219,576 pada bulan sebelumnya. Angka ini dijangka akan bertambah menjelang bulan Januari 2024 apabila bilangan tren ditambah kepada 36 buah dengan kekerapan 4 minit.
Bagi perkhidmatan bas pula. Rapid Bus bakal menambah bilangan bas di sekitar Lembah Klang bagi memenuhi permintaan yang meningkat serta demi menyelaraskan pengoperasian bas agar lebih efisyen. Dijangka sebanyak 1,000 buah bas akan beroperasi setiap hari menjelang hujung tahun ini, peningkatan daripada 762 buah pada awal tahun ini.
Selain itu, Rapid Bus juga melaksanakan projek percubaan laluan-laluan bas di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang (Jalan Rhu ke persimpangan Jalan Tun Razak) telah mencatat peningkatan jumlah pengguna sebanyak 15% di koridor tersebut. Baru-baru ini, dua projek percubaan lorong bas baharu telah dilaksanakan iaitu Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang (persimpangan Jalan Tun Razak ke Jalan Rhu).
Dari segi fasiliti serta kemudahan awam di stesen-stesen termasuk lif dan eskalator, pada ketika ini 99% kemudahan beroperasi secara normal. Namun, pembaikan fasiliti dan kemudahan adalah usaha berterusan di bawah program penyelenggaraan berasaskan keadaan (condition-based maintenance).
Prasarana berkata, pihaknya komited dalam menambahbaik kesemua perkhidmatan rel dan bas serta fasiliti kemudahan awam di bawah kendaliannya secara berterusan bagi kemudahan dan keselesaan pengguna serta menggalak penggunaan pengangkutan awam, selari dengan agenda pengangkutan awam yang mensasarkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang tahun 2030.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.