Proton telah menyiarkan laporan jualan bulan November 2023, dengan menunjukkan 12,296 buah kenderaan (domestik dan eksport) berjaya dijual bulan lepas, bersamaan penurunan 476 unit (atau sekitar 3.7%) berbanding Oktober 2023. Ini menjadikan jualan keseluruhan tahun ini (YTD) 141,900 unit, yang bermakna ia telah melepasi jumlah tahun lepas, iaitu 141,432 unit, dan masih ada baki satu bulan lagi bagi 2023.
Daripada 141,900 unit yang diserah kepada pelanggan, 138,876 unit dijual dalam negara, sementara baki 3,024 unit lagi adalah untuk pasaran eksport. Proton menyatakan, jumlah YTD ini mencatat peningkatan 12% dan menjadikan perkongsian pasaran mereka berjumlah 19.7%.
Melihat kepada model, S70 yang baru sahaja dilancarkan mendapat sambutan baik pasaran dengan lebih 900 tempahan diterima setiap minggu. Semasa pelancarannya, syarikat itu memberitahu, mereka meletakkan sasaran 5,000 tempahan sehingga akhir tahun ini. Sehingga waktu pengumuman terbaru, 3,000 tempahan telah diterima.
Paling banyak dijual adalah Saga, yang sekali lagi menjadi model paling laku dengan catatan 6,349 unit dan membawa YTD kepada 64,155 unit. Apabila dilihat kepada pasaran sedan segmen A di Malaysia, Saga berada di tempat kedua, di bawah Perodua Bezza.
Sementara itu, 1,902 unit Persona berjaya dijual pada bulan November 2023, dengan YTD berjumlah 22,557 unit, meletakkan ia sebagai sedan segmen B ketiga terlaris di Malaysia. Untuk Iriz pula, 518 unit terjual bulan lalu, dan YTD kini berjumlah 7,151 unit dan menjadikannya hatchback segmen B keempat terlaris di Malaysia.
Pergi pula kepada model SUV siri X, X50 mencatat jualan 2,115 unit (YTD 29,096), menjadi SUV segmen B kedua terbanyak. Sejak pelancarannya, 102,325 unit X50 berjaya dijual, menjadikannya sebagai model SUV paling cepat terjual dalam sejarah di Malaysia.
Ia kemudiannya disertai oleh X70 yang mencatat jualan 739 unit (YTD 10,444 unit) dan meletakkannya di tempat kedua dalam segmen SUV, di bawah Honda CR-V. Dilancarkan pada tahun 2018, 95,100 unit X70 telah diserahkan kepada pelanggan sehingga setakat ini.
X90 terus menjadi SUV segmen D dengan jumlah tertinggi, iaitu 4,285 unit untuk tahun ini, dan 371 unit dijual pada November 2023. Satu lagi model yang duduk paling atas dalam segmennya adalah Exora, meskipun pengeluarannya telah dihentikan Oktober lalu. Sejumlah 302 Exora didaftarkan bulan lepas, membawa YTD kepada 4,212 unit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.