Shell Malaysia telah mengumumkan rancangannya untuk membina hab pengecas EV prestasi tinggi (HPC) di Resorts World Genting, Genting Highlands, Pahang yang bakal mula beroperasi pada awal tahun hadapan. Ini merupakan projek Shell Malaysia dengan kerjasama Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Berhad.
Menurut syarikat tersebut, selepas ia siap dibina kelak, hab HPC di Resorts World Genting akan menjadi yang terbaru dalam rangkaian Shell Recharge dari 136 stesen pengecasan di bandar dan di sepanjang lebuh raya di Semenanjung Malaysia.
Hab pengecasan di Resorts World Genting ini akan menampilkan 10 ruang pengecas, terdiri daripada empat pengecas pantas DC 360 kW dan enam pengecas AC 22 kW. Kedua-dua jenis pengecas tersebut akan dilengkapi dengan penyambung jenis CCS2 dan Type 2.
Untuk menggunakan pengecas DC 360 kW, pelanggan akan dikenakan yuran pengesahan sebanyak RM10 dan RM2.80 setiap kWj. Jika anda membiarkan kereta di petak pengecas selepas cas penuh/tidak mengecas (idle), tiada bayaran untuk 15 minit pertama tetapi 15 minit pertama selepas itu bayaran RM10 akan dikenakan. Penggunaan pengecas ini akan dihadkan maksimum RM400 untuk satu sesi pengecasan.
Manakala bagi pengecas AC 22 kW pula, yuran pengesahan adalah RM8 diikuti dengan kadar RM1.30 setiap kWj. Caj idle pula adalah percuma untuk 15 minit pertama, dan RM2 untuk setiap 30 minit selepas itu. Pengecas AC 22 kW dihadkan kepada maksimum RM200 setiap sesi pengecasan.
“Dengan penambahan 10 ruang pengecasan di puncak bukit Resorts World Genting, kami terus mengorak langkah ke arah komitmen berterusan bagi membolehkan penyelesaian pengangkutan bersih-sifar di Malaysia,” kata pengurus besar Shell Mobility Seow Lee Ming.
Shell Malaysia juga telah mengumumkan harga terkini untuk lokasi 180 kW HPC sedia ada, yang akan berkuat kuasa mulai 15 Disember berikutan pengumuman ParkEasy mengenai penukaran kepada harga berasaskan kWj untuk pengecas AC Shell Recharge.
Untuk stesen pengecasan Shell Recharge 180 kW, yuran pengesahan ialah RM5, dan kadar RM2.20 setiap kWj akan dikenakan. Caj idle adalah percuma untuk 15 minit pertama, dan akan menjadi RM8 untuk setiap 15 minit selepas itu.
Untuk masa yang terhad, ParkEasy menawarkan tawaran pakej kredit untuk pakej ParkEasy Plus bersama Shell Recharge, untuk digunakan di Resorts World Genting HPC dan juga di semua stesen Shell Recharge. Tawaran ini bermula dari 15 Disember 2023 hingga 15 Februari 2024, di mana satu pakej berharga RM600 untuk jumlah kredit caj sebanyak RM720 dengan tempoh sah setahun dan kredit bonus sebanyak 120 mata.
Jika ia dibeli dalam tempoh ini, tawaran pakej ParkEasy Plus juga menawarkan pulangan tunai 10% untuk transaksi pengecasan AC, dan diskaun 15% untuk transaksi HPC. Pulangan tunai dan diskaun hanya sah di lokasi Shell Recharge sahaja, dan tawaran itu tidak boleh diperbaharui.
Jika anda belum mempunyai aplikasi ParkEasy lagi, anda boleh menggunakan kod rujukan kami R88W3N2T apabila anda memuat turun aplikasi ParkEasy dan anda akan mendapat sejumlah kredit percuma untuk mencubanya.
“Perkongsian kami dengan Shell Recharge adalah bukti komitmen kami untuk membolehkan perjalanan rentas sempadan jarak jauh menggunakan EV, menghubungkan tiga negara – Thailand, Malaysia dan Singapura,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance Christopher Hunter, mewakili Porsche Malaysia.
“Dengan pertumbuhan pantas penggunaan kereta EV di Malaysia dan di seluruh rantau ini, ini akan membantu mempromosikan pelancongan yang mampan dan menyediakan kemudahan kepada pengunjung kami di Resorts World Genting,” kata Naib Presiden Kanan pembangunan hartanah dan projek Genting Malaysia Berhad Gary Chen Wing Kong.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.