Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe diperkenal – versi prestasi dengan kuasa sehingga 449 PS, 600 Nm

Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe diperkenal – versi prestasi dengan kuasa sehingga 449 PS, 600 Nm

CLE Coupe yang diperkenalkan Julai lalu bagi menggantikan C-Class dan E-Class coupe kini menerima versi prestasi yang dipanggil sebagai Mercedes-AMG CLE53. Ia tiba dengan enjin petrol enam silinder turbo 3.0 liter berkuasa 449 PS (443 hp atau 330 kW) dari 5,800 ke 6,100 rpm.

Menurut Mercedes-Benz, enjin enam silinder ini adalah unit M256 versi dipertingkat, yang kini dinamakan sebagai M256M. Antara peningkatan yang dibuat adalah termasuk kebuk pembakaran lebih optima dengan lubang masuk dan keluar yang direka semula, piston ring baru serta suntikan bahan api yang dioptimakan semula.

Pengecas turbo juga adalah baru, dan ia dibantu dengan compressor elektrik tambahan yang dapat meningkatkan tekanan boost sehingga 0.4 bar, menjadi 1.5 bar dan membenarkan tork puncak mencapai 600 Nm semasa overboost dalam tempoh masa sehingga 12 saat. Dalam keadaan biasa, enjin tersebut mampu menghasilkan tork sehingga 560 Nm pada antara 2,200 hingga 5,000 rpm.

Selain limpahan kuasa, enjin ini juga dijadikan lebih cekap dengan integrated starter generator (ISG) generasi kedua yang bersepadu di dalam transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G. Komponen ini adalah sebahagian daripada sistem elektrik 48 volt dan boleh memberikan pecutan tambahan sementara sehingga 23 PS dan tork 205 Nm, membantu luncuran sekata serta fungsi start-stop yang lebih lancar.

Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe diperkenal – versi prestasi dengan kuasa sehingga 449 PS, 600 Nm

Bersama dengan sistem pacuan semua roda boleh ubah AMG Performance 4Matic+ , CLE53 dapat memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 4.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j, atau 270 km/j apabila dipasang dengan Driver’s Package daripada AMG.

Sistem berkaitan pemanduan lain yang terdapat pada model ini adalah termasuk tetapan brek yang terdiri daripada cakera 370 mm berliang serta angkup empat piston di hadapan, dan cakera 360 mm dengan angkup satu piston terapung di belakang.

CLE53 juga datang dengan suspensi AMG Ride Control yang menggunakan spring besi serta penyerap boleh laras adaptif yang mempunyai pilihan tiga mod iaitu Comfort, Sport and Sport+. Turut disediakan adalah stereng AMG yang boleh mengesan kelajuan serta rear-wheel steering yang boleh beroperasi pada sudut sehingga 2.5 darjah.

Apabila mengambil pakej AMG Dynamic Plus, pemilik akan menerima mod pemanduan Race yang membolehkan tindakan drift. Pakej ini juga termasuk dengan roda stereng prestasi AMG yang dibalut gentian mikro Microcut dan mempunyai butang kawalan program pemanduan serta tetapan dinamik lain, angkup brek warna merah dengan tulisan AMG serta tapak enjin aktif.

Secara visualnya, CLE53 berkongsi rekaan sama seperti varian di bawah, tetapi dijadikan lebih garang dengan bampar yang lebih agresif serta lubang udara lebih besar. Fender yang lebih kembang digunakan, bagi menempatkan rim 19 inci yang diberi secara standard (boleh dinaik taraf kepada 20 inci) dan jarak antara roda kiri dan kanan bertambah lebar 58 mm di hadapan dan 75 mm di belakang.

Melalui pilihan tambahan pakej AMG Optics pula, coupe prestasi ini akan menjadi lebih sporty dengan tambahan panel aerodinamik pada bampar hadapan, spoiler belakang yang lebih tebal serta diffuser di antara muncung ekzos kiri dan kanannnya. Model ini juga boleh ditambah dengan pakej AMG Night serta AMG Carbon.

Perkara sama dibuat pada bahagian dalam, dengan tetapan asasnya sama sahaja seperti CLE Coupe biasa, tetapi dinaik taraf dengan barangan khas AMG. Sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang mengawal panel instrumen digital 12.3 inci serta skrin sesentuh 11.9 inci di tengah juga mendapat fungsi khas serta paparan AMG.

Tempat duduk CLE53 dibalut dengan padanan kulit Artico serta gentian Microcut hitam, dan diserikan dengan grafik AMG serta jahitan merah untuk dipadankan bersama tali pinggang yang juga berwarna merah dan kemasan gentian karbon di beberapa bahagian lain. Sudah tentu, pemilik juga diberi pilihan untuk menaik taraf kepada tempat duduk prestasi AMG ataupun pilihan kemasan dan balutan lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required