Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan negeri terbabit telah menerima sebanyak 500 kuota lesen memandu Kelas B2 untuk golongan B40, sekaligus mencatatkan angka tertinggi bagi Program MyLesen B2 tahun ini.
Menurut beliau, pada peringkat permulaan, sasaran pemberian lesen kelas B2 menerusi program itu ialah Tuaran dan Kinabatangan membabitkan 246 calon yang berjaya dalam ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Di mana Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2023 telah memperuntukkan RM2.7 juta untuk kos bayaran latihan dan ujian bagi lesen memandu Kelas B2 yang memberi manfaat kepada 9,000 orang penerima golongan B40.
“Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini akan turut dinikmati oleh lebih ramai lagi masyarakat kurang berkemampuan atau B40 di negeri ini pada tahun hadapan,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya.
Tambahnya, program itu adalah antara usaha murni kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen memandu Kelas B2 untuk motosikal dalam memperkasa mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi kalangan masyarakat luar bandar, laporan Berita Harian.
Beliau menyifatkan usaha diambil Kerajaan Persekutuan itu menunjukkan pentingnya lesen B2 dimiliki dalam memperkasakan mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi golongan B40.
Manakala bagi Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2 (MyLesen B2), e-hailing dan teksi untuk lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.