Kita sudah melihat, dua model baru 400 keluaran Triumph iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 menyediakan tarikan tersendiri kepada pelanggan – konsep rekaan sama seperti model yang lebih besar (Speed Twin/Street Scrambler) tetapi dengan enjin yang lebih kecil serta harga lebih mampu milik.
Sekarang nampaknya dua model yang berkongsi asas sama tersebut akan disertai satu lagi versi iaitu Thruxton 400, seperti yang dilihat melalui gambar spyshot dari Autostreet ini. Ketibaannya memang sudah dijangka dan kita cuma perlu menunggu bila ia akan memasuki pasaran – kemungkinan besar awal tahun depan.
Seperti yang diketahui, Thruxton adalah model Triumph yang menggunakan penampilan cafe racer, tetapi Speed Triple RR juga menggunakan konsep rekaan sama, dan kita perlu mendengar pengumuman rasmi daripada Triumph untuk mengetahui nama sebenar model yang lebih kecil ini.
Daripada gambar, apa yang kita boleh lihat cuma bahagian depan sahaja yang diubah berbanding Speed 400 dan Scrambler 400, dengan mendapat fairing atas berlekuk seperti Speed Triple RR serta pemegang yang dikepit pada bahagian atas fork (clip-on).
Pada Speed 400 dan Scrambler 400, enjin satu silinder 398 cc suntikan bahan api serta padanan gear enam kelajuannya dapat menghasilkan kuasa sehingga 40 PS pada 8,000 rpm dan tork 37.5 Nm pada 6,500 rpm. Untuk Thruxton 400, sekali lagi kita perlu menunggu pengesahan daripada Triumph sama ada sebarang talaan khas akan dibuat untuknya.
Di Malaysia, Speed 400 dan Scrambler 400 sudah boleh ditempah, dengan harga masing-masing RM26,900 dan RM29,900, tetapi motosikal cuma akan tiba awal tahun hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.