Hayden Haikal intai peluang berlumba dalam kelas GT, bergantung keputusan perlumbaan di Thai minggu ini

Hayden Haikal intai peluang berlumba dalam kelas GT, bergantung keputusan perlumbaan di Thai minggu ini

Selepas menjadi juara keseluruhan Idemitsu Super Turbo Championship 2023 untuk kelas Junior di Thailand Jun lalu, pelumba touring car muda negara Hayden Haikal kini mempunyai satu lagi misi untuk dihabiskan untuk tahun ini iaitu melengkapkan Kejohanan Super Series Thailand dalam kelas Super Eco.

Walaupun peluang untuk bergelar juara keseluruhan dilihat tipis, dua perlumbaan terakhir siri kejuaraan tersebut bagi musim 2023 yang diadakan di Litar Antarabangsa Chang pada 14 hingga 17 Disember ini adalah penting buat Hayden, bagi membuka peluang buatnya untuk bertanding dalam kelas lebih tinggi pada masa akan datang.

Buat masa sekarang Hayden merupakan satu-satunya pelumba Malaysia yang bertanding secara sepenuh musim dalam dua siri serentak di Thailand. Dia mula berlumba di negara berkenaan pada tahun lalu, dan berjaya bergelar naib juara keseluruhan Super Series Thailand dalam kelas Super Eco 2022 hanya dalam percubaan pertama.

“Menduduki tempat kedua dalam Kelas Super Eco Siri Super Thailand 2022 dan memenangi Kejohanan Super Turbo Idemitsu tahun ini sudah tentu membantu menyerlahkan kebolehan dan peluang untuk saya di Thailand. Sasarannya adalah untuk berlumba pada peringkat lebih tinggi di Thailand bagi 2024 terutamanya untuk bersaing sama ada dalam kelas perlumbaan GT4 atau GT3 tetapi belum ada apa-apa keputusan muktamad buat masa ini,” kata pelumba yang baru sahaja berumur 19-tahun itu.

Menurutnya lagi dengan berlumba di Malaysia dan Thailand tahun ini telah membantu mempercepatkan kemajuannya sebagai pelumba.

“Standard perlumbaan dan tahap persaingan adalah sama di kedua-dua negara, tetapi di Thailand terdapat penekanan yang lebih besar untuk meminimumkan sentuhan antara kereta dan mengawal tahap agresif di litar. Anda boleh laju tetapi dalam masa yang sama anda perlu bersih. Perbezaan bahasa menjadi sedikit kekurangan tetapi pasukan dan saya akan mencuba pada tahap terbaik untuk mengatasinya pada setiap perlumbaan,” ujarnya lagi.

Hayden juga menyatakan dengan pengalaman pertamanya berlumba sepenuh musim di Thailand sudah cukup baginya untuk bersedia membuat kemunculan sulung dalam kelas GT.

“Ya, saya dah bersedia untuk naik lebih tinggi dan saya juga telah melengkapkan beberapa ujian walaupun dengan kereta GT lebih berusia bagi membiasakan diri saya dengan jentera. Ia merupakan mesin perlumbaan yang berbeza sepenuhnya tetapi sebaik sahaja anda membiasakan diri dengan keupayaan teknikalnya, anda belajar untuk tidak takut dengan kuasa.”

Untuk musim 2023 ini Hayden berlumba dengan pasukan baharu iaitu Pipekids Racing. Pasukan tersebut tidak mensasarkan Hayden untuk menjadi juara dalam kejohanan tersebut, sebaliknya dia lebih bertindak sebagai pelumba pembangunan bagi mempertingkatkan jentera baharu pasukan tersebut iaitu sedan segmen-A Honda Brio Amaze.

Hayden menghabiskan perlumbaan pada kedudukan kelima dan keenam pada dua perlumbaan pusingan pertama, dan kemudian mencatatkan keputusan lebih baik iaitu kedua dan keempat untuk perlumbaan di pusingan kedua. Tetapi kerana masalah mekanikal pada kereta, Hayden hanya mampu menamatkan perlumbaan pusingan ketiga pada kedudukan ke-12 dan ke-20.

Ini menyebabkan Hayden hilang peluang untuk merebut gelaran juara keseluruhan pada pusingan keempat nanti, namun dia masih berpeluang untuk mengulangi prestasi tahun lalu iaitu untuk bergelar naib juara.

Hayden Haikal intai peluang berlumba dalam kelas GT, bergantung keputusan perlumbaan di Thai minggu ini

“Kami adalah pasukan baharu dan amat menyeronokkan kerana dapat menjadi sebahagian daripada proses untuk membangunkan pasukan dan Honda Brio Amaze (sedan) dengan potensi sepenuhnya bagi menentang Suzuki Swift, Toyota Yaris serta Honda Brio (hatchback) yang penuh dalam grid. Kami telah belajar banyak sebagai satu pasukan dan semoga pengalaman tahun ini akan meletakkan Pipekids Racing pada kedudukan yang lebih kukuh untuk merebut kejuaraan pada 2024,” katanya.

Hayden bermula dengan go-kart dan selepas itu mula berlumba dalam siri perlumbaan one make Toyota Gazoo Racing Vios Challenge ketika baru berusia 14-tahun, iaitu pelumba termuda yang bertanding dalam kejohanan berkenaan. Pada umur 16 tahun dia dinobatkan sebagai juara bagi kelas Sporting untuk pelumba-pelumba amatur, kemudian berjaya bergelar juara untuk kategori Super Sporting pada tahun berikutnya menewaskan pelumba-pelumba professional lain dalam negara.

Sehingga kini Hayden sudahpun mempunyai pengalaman kompetitif selama enam tahun dalam perlumbaan touring car, dan pernah menaiki podium dalam perlumbaan endurance Sepang 1000KM, Malaysia Championship Series (MCS) dan siri Malaysia Speed Festival (MSF).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required