Sekali pandang, ada iras Tesla Cybertruck? Ini adalah model Red Star Box1, sebuah van panel EV satu tan, yang baru sahaja diperkenalkan di China, seperti dilaporkan oleh portal iNews.
Model Red Star Box1 ini dikeluarkan oleh syarikat kenderaan China, Hebei HongXing Automobile dan merupakan sebuah van panel dengan penggayaan berkotak dan permukaan rata, yang pendekatannya itu mengingatkan kita kepada model trak pikap Tesla tersebut.
Model ini menggunakan sebuah motor elektrik daripada Wolong ZF dan bateri lithium-iron phosphate yang tidak dinyatakan kapasitinya. Output motor pula ialah 60 kW, atau 81 PS, dan membolehkan van Box1 ini bergerak hingga kelajuan maksimum 90 km/j.
Untuk ukuran luaran, van ini mempunyai dimensi 4,690 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,995 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,690 mm. Ruang karga di dalam pula mempunyai ukuran 2,970 mm panjang, 1,645 mm lebar dan 1,290 mm tinggi, dengan kemampuan menampung beban sehingga 1,350 kg.
Berdasarkan gambar yang ada, Box1 datang dengan ciri pintu yang boleh dibuka sepenuhnya hingga mencecah panel badan bagi memudahkan urusan mengangkut dan menurunkan barang. Di sini pula ada pintu terpisah yang boleh dibuka menegak dan ke bawah, dengan memanfaatkan strut untuk mengekalkan bukaannya.
Lebih menarik, menurut Pengarah Eksekutif Go Auto, Datuk Azli Nasimuddin menerusi hantaran di LinkedIn-nya, model ini akan dibawa masuk ke Malaysia, dijangka suku ketiga 2024 kelak. Rasa-rasa van ini akan mendapat sambutan di sini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
What kind of a sorry ars* is that? It looked like a toy car that you get from the bottom of your cereal box.