Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pada dasarnya kerajaan bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menukar lesen memandu kenderaan digunakan ketika ini kepada bentuk digital, laporan Berita Harian.
Katanya, walau bagaimana pun syarat yang dikenakan adalah semua maklumat peribadi tidak diperoleh syarikat pengendali.
“Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) sebelum ini merancang menukar lesen memandu yang ada, dalam bentuk digital dengan syarat semua maklumat peribadi tidak diperoleh syarikat pengendali. Selain itu, kos setiap lesen kurang daripada sekarang dan Kabinet setuju pada dasarnya cadangan beliau itu,” katanya baru-baru ini.
Beliau turut berkata, kerajaan memberi jaminan semua data peribadi yang digunakan dalam apa juga aplikasi dan sistem digital akan dikawal dan hanya menjadi milik kerajaan sepenuhnya. Di mana syarikat pengendali yang diberi tanggungjawab melaksana sebarang bentuk aplikasi dan sistem digital itu, tidak akan diberi akses kepada maklumat peribadi berkenaan.
Pada 10 Februari lalu, Loke mengumumkan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian dilaksanakan.
Di mana pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis.
Sebelum ini, kami pernah melaporkan bahawa di Malaysia, pertukaran kepada lesen memandu digital yang boleh dipaparkan melalui aplikasi MyJPJ tidak dilaksanakan secara menyeluruh. Seperti yang dinyatakan pada bulan Februari lalu, mereka yang mempunyai lesen memandu pelajar (LDL) dan lesen memandu vokasional (PSV/GDL/KON) masih memerlukan salinan fizikal lesen tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.