Gentari Hydrogen, yang merupakan anak syarikat milik penuh Gentari (divisi tenaga bersih Petronas) telah menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan IHI Corporation dari Jepun, yang akan menyaksikan kedua-dua pihak menguatkan lagi kerjasama mereka untuk membangunkan industri hidrogen.
Melalui MoU tesebut, kedua-dua syarikat akan bersama meneroka pembentukan rangkaian nilai ammonia hijau global. Ini melibatkan pengeluaran, pengangkutan, penyimpanan serta penggunaan ammonia hijau di Asia Pasifik serta kawasan lain yang mempunyai kepentingan sama.
Kerjasama ini akan meneroka kemajuan penggunaan komersial IM270, iaitu turbin kuasa gas ammonia penuh yang dibangunkan oleh IHI, dengan sokongan Organisasi Pembangunan Tenaga Baru dan Industri (NEDO) Jepun. Aplikasi komersial IM270 ini dijangka bermula pada tahun 2026 dan berpotensi menjadi turbin gas ammonia penuh pertama di dunia.
Pengeluaran ammonia hijau menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, dengan bahan mentah yang diperlukan terdiri daripada hidrogen yang diperoleh melalui elektrolisis air serta nitrogen yang didapati daripada udara melalui unit pengasingan. Ia adalah berbeza dengan “ammonia perang” yang dihasilkan menggunakan bahan bakar fosil. Sementara kebiasaannya digunakan untuk produk baja, ammonia hijau untuk boleh dijadikan sebagai sumber bersih untuk menghasilkan elektrik.
Melalui kerjasama ini juga, Gentari dan IHI mempunyai perancangan untuk menaikkan permintaan ammonia hijau di Malaysia serta benua Asia Tenggara, seterusnya mempercepatkan lagi penerimaan hidrogen bersih.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.