Kerajaan memberitahu, penawaran pas perjalanan tanpa had My50 akan diteruskan kerana ia terbukti semakin diterima ramai di Lembah Kelang, dengan jumlah pelanggannya meningkat 66% tahun ini, dari sekitar 120,000 pengguna pada awal tahun ini, menjadi 200,000 pada masa sekarang.
Disebabkan itu, menteri pengangkutan, Anthony Loke menyatakan inisiatif ini akan diteruskan, dengan peruntukan untuk program My50 untuk tahun-tahun akan datang dinaikkan dari RM115 juta kepada RM200 juta bagi menampung permintaan yang semakin meningkat – lapor New Straits Times.
“Ia adalah satu pelaburan yang sangat berbaloi, dan kami harap lebih ramai penduduk bandar akan menggunakan peluang ini,” kata beliau sambil menambah bahawa jumlah pengguna yang meningkat ini boleh dikaitkan dengan pembukaan MRT Laluan Putrajaya yang memulakan operasi Mac lalu, menyambungkan Kepong ke Putrajaya.
Loke memberitahu lagi, program ini menguatkan lagi komitmen kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat melalui pengangkutan awam mampu milik. “Tiada negara lain yang memberikan subsidi banyak seperti ini untuk pengangkutan awam, menjadikan ia satu pilihan yang mampu milik untuk rakyat. Bayangkan dengan hanya tidak sampai dua ringgit sehari, anda boleh menggunakan apa sahaja pengangkutan awam di Kuala Lumpur,” kata Loke.
“Ada bermacam lagi inisiatif yang boleh dilaksanakan, tetapi kami tidak mahu membebankan rakyat. Kami sasarkan untuk menyediakan pilihan menarik untuk menangkap perhatian mereka dan mempromosikan penggunaan pengangkutan awam,” tambah beliau.
Diperkenalkan pada tahun 2019, My50 adalah satu pas perjalanan tanpa had yang menawarkan penggunaan tanpa had selama 30 hari untuk Rapid KL LRT, MRT, monorel, BRT, bas Rapid KL dan bas perantara MRT di Lembah Kelang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.