Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengenakan caj kesesakan bagi kenderaan yang masuk ke Kuala Lumpur sebaik sahaja pembangunan infrastruktur pengangkutan awam telah mencapai tahap tertentu.
Menurutnya dalam laporan FMT, langkah berkenaan perlu diambil bagi memastikan tahap kemampanan yang lebih baik untuk bandaraya tersebut. Beliau turut menambah walaupun perbincangan untuk mengenakan caj itu telah dibuat selepas Laluan Lingkaran MRT3 siap sepenuhnya, perkara ini tidak boleh dibiarkan dan dilupakan begitu sahaja.
“Ia bukan keputusan saya, tetapi ia sesuatu yang perlu kita pertimbangkan jika kita mahu bercakap tentang bandar yang lebih mampan bergerak ke hadapan,” tegasnya.
Nik Nazmi juga menambah walaupun untuk mengenakan caj kesesakan ini akan menjadi keputusan yang sukar, ia tetap perlu menjadi langkah yang perlu dibuat oleh kerajaan, sama seperti ketika ia memperkenalkan tarif elektrik yang disasarkan, seterusnya memaksa syarikat-syarikat terlibat meneroka tenaga solar.
“Kita perlu ingat bahawa kita perlu mengubah tabiat kita. Tiada apa yang telah diputuskan, tetapi anda tahu, kerajaan perlu membuat keputusan yang sukar. Pada tahun lalu, sebagai contoh, kami memulakan perjalanan ke arah tarif elektrik yang disasarkan, dan selepas semua aduan dan sebagainya, banyak syarikat terpaksa mula memasang panel solar dan pelbagai langkah kecekapan tenaga,” jelasnya.
Pada Mac tahun lalu, menteri pengangkutan ketika itu Datuk Seri Wee Ka Siong berkata caj kesesakan akan dipertimbangkan selepas MRT3 siap pada 2030, dengan struktur bayaran untuk kenderaan yang memasuki bandar perlu dilihat apabila sistem rangkaian pengangkutan awam siap sepenuhnya.
Caj kesesakan bagi kenderaan yang memasuki pusat bandar bukanlah konsep baharu dan telah dilaksanakan di bandar-bandar seperti London, Singapura, Stockholm dan Milan. Disokong dengan infrastruktur pengangkutan awam yang betul, pengenalan caj ini dilihat sebagai antara cara terbaik untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang, terutamanya di ibu negara. Langkah ini sudahpun dibincangkan dan dicadangkan sebelum ini, seawal tahun 2015 lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.