Sebelum ini telah dilaporkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) akan mula beroperasi pada bulan Januari 2024 dan rakyat Malaysia yang ingin mengetahui sama ada mereka layak atau tidak untuk mendapat subsidi bahan api bersasar perlu mendaftar sendiri di dalam laman ini secara dalam talian.
Sekarang, tarikh sebenar proses itu akan dimulakan sudah didedah. Dalam satu muatan di X (Twitter), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyatakan, “dari 2 Januari 2024, semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas digalakkan untuk mendaftar dan mengemas kini informasi peribadi mereka di dalam sistem PADU.”
Sudah tentu, cara selain dalam talian juga disediakan, terutamanya bagi mereka yang duduk di kawasan pedalaman dan mengalami masalah akses kepada internet. Bagi keadaan seperti itu, mereka boleh melakukannya secara manual di tempat seperti pejabat daerah/penghulu/MPKK/PBT, Pusat Ekonomi Digital atau Pusat Internet Desa.
Bulan lalu, menteri ekonomi, Rafizi Ramli memberitahu bahawa mekanisme subsidi bersasar untuk petrol RON 95 akan diperkenalkan pada separuh kedua tahun 2024, dengan PADU menjadi komponen penting bagi membenarkan kerajaan untuk mengenal pasti dan merasionalkan subsidi dan melaksanakan langkah kebajikan sosial ini.
Terdapat tiga mekanisme yang berkemungkinan diguna pakai untuk melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol dan diesel ini iaitu mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih kepada individu menerusi pendekatan perlindungan sosial, isi rumah melalui pendekatan hibrid iaitu perlindungan sosial dan bantuan sosial serta isi rumah dan individu menggunakan kaedah kad subsidi.
Untuk makluman, Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) akan dilaksanakan tidak lama lagi dan bermula 2 Januari 2024, semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat diri ke dalam sistem PADU. pic.twitter.com/8AKrWcKduH
— KPDN (@KPDN_HQ) December 21, 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.