Dengan perkembangan penggunaan kenderaan elektrik penuh (EV) di Malaysia yang semakin meluas, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) kini turut akan memainkan peranannya dengan bakal memperkenalkan program pensijilan bagi pengecas-pengecas EV yang digunakan dalam negara.
Menurut SIRIM dalam kenyataan yang dikeluarkan, program ini akan memastikan keselamatan dan pematuhan terhadap protokol bagi pengecas-pengecas EV tersebut. Ia akan dijalankan oleh anak syarikatnya iaitu SIRIM QAS International, yang mempunyai kepakaran dan kemudahan diperlukan untuk memastikan semua unit pengecasan memenuhi piawaian yang diperlukan dan selamat, boleh dipercayai serta berfungsi.
Syarikat itu juga menyatakan bahawa proses pensijilan ini akan melibatkan protokol ujian komprehensif. Ini termasuk pemeriksaan teliti dibuat pada setiap aspek untuk memastikan pematuhan kepada keperluan keselamatan dan standard prestasi yang ketat.
Ia turut menambah bahawa sistem pengecasan kenderaan elektrik (EVCS) yang boleh dipercayai dan selamat akan meningkatkan kepercayaan, dalam masa yang sama turut menggalakkan penerimaan mobiliti elektrik yang lebih meluas. “Dengan skim pensijilan kami, industri EV di Malaysia akan dapat maju dan berkembang tidak lama lagi,” kata Muhammad Kamal Sabran, ketua pensijilan produk SIRIM QAS.
SIRIM turut menyatakan bahawa dengan peningkatan jumlah EVCS dalam negara telah menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan dan kesahihannya, seterusnya prosedur yang mantap untuk memastikan keselamatan dan kecekapan tertinggi untuk pengguna EV kini diperlukan.
“Inilah sebabnya prosedur perlu disediakan untuk menjamin tahap keselamatan terhadap pemandu di Malaysia dan kecekapan tertinggi dari EVCS,” katanya.
Dalam laporan Bernama, SIRIM menyatakan pensijilan ini akan merangkumi pelbagai pihak berkepentingan industri, termasuk pengecaj, pemasang, kontraktor bangunan, penyedia perkhidmatan automotif serta penyelenggara EVCS profesional.
“Usaha kolektif ini akan memastikan komitmen untuk menyediakan pengalaman pengecasan yang selamat dan boleh dipercayai untuk pemilik EV, memupuk budaya kecemerlangan dan menyemai keyakinan pada pengilang, pengawal selia dan pelanggan,” katanya.
Pengumuman program pensijilan EVCS adalah susulan dari penubuhan Pusat Ujian Bateri Boleh Dicas Semula Nasional (NRBTC) SIRIM awal bulan ini. NRBTC diwujudkan bertujuan untuk menyediakan ujian, pengesahan dan pengesahan pihak ketiga yang berkualiti tinggi dan saksama untuk bateri boleh dicas semula bersaiz besar dan berkuasa tinggi.
Menurut SIRIM, penubuhan NRBTC akan membolehkan pembangunan ekosistem lengkap yang mampu mengendalikan kelulusan paten untuk sistem pengecasan EV, ujian bateri dan pensijilan untuk komponen dan sistem EV.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
sudah lama sekeluarga tidak minat beli kereta elektrik di malaysia kalau siapa beli kereta ev?