Van kotak yang anda tengok ini namanya adalah Puzzle, dikeluarkan oleh sebuah syarikat Jepun, HW Electro. Ia ditunjukkan kali pertama semasa Japan Mobility Show bulan lalu, dan sekarang diterbangkan ke New York, Amerika Syarikat untuk tujuan promosi.
Menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, Puzzle membawa rekaan seperti dilukis menggunakan pembaris, dan menurut pengeluarnya, ia dapat membantu mengurangkan pembaziran semasa proses pengeluaran dan menjadikannya mudah untuk dibaiki. Demi memenuhi spesifikasi kei car, Puzzle mencatat ukuran panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak roda 2,480 mm.
Tersembunyi di sebalik panel badan di atas roda hadapan adalah tempat mengecas, soket kuasa, kit kecemasan serta peralatan asas. Menurut HW Electro, van yang dibuat untuk tujuan komersial ini mampu membawa sehingga 350 kg dan barangan mudah dimasukkan kerana lantainya rata dan bukaan pintu but adalah luas.
Bahagian dalam cuma mempunyai dua tempat duduk di hadapan, dan papan pemukanya ringkas seperti meja, dengan panel instrumen digital kecil di hadapan pemandu dan skrin sistem infotainmen di tengah. Bentuk stereng juga adalah berpetak, manakala pemilih gear menggunakan jenis suis, terletak di antara dua tempat duduk itu.
Perincian untuk pakej kuasa atau penggerak van ini masih belum didedahkan, tetapi Puzzle juga dilihat datang dengan pengumpul tenaga solar di atas bumbungnya. HW Electro bercadang untuk mula menjual Puzzle pada hujung tahun 2024, dengan harga sekitar dua juta yen (RM64,853).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.