Cukai jalan, lesen memandu boleh diperbaharui via aplikasi MyJPJ mulai 1 Feb, rebat RM5 hingga 31 Dis

Cukai jalan, lesen memandu boleh diperbaharui via aplikasi MyJPJ mulai 1 Feb, rebat RM5 hingga 31 Dis

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan format baharu bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) (atau lebih dikenali sebagai cukai jalan) dan juga Lesen Memandu Malaysia (LMM). Di mana Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa mulai 1 Februari 2024, orang ramai boleh memperbaharui LKM dan lesen memandu menerusi aplikasi MyJPJ.

“Pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa di mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara). Pertambahan fungsi baharu ini akan memudahkan orang awam untuk memperbaharui LKM dan LMM secara digital, menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter JPJ,” katanya dalam sidang media di JPJ Padang Jawa, Shah Alam, pagi tadi.

Menurutnya lagi, bagi mengalakkan penggunaan e-LMM, mereka yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) semasa pembaharuan akan menikmati rebat sebanyak RM5.

Cukai jalan baharu (kiri), slip lesen memandu (kanan)

“Rebat ini boleh dinikmati sepanjang tahun 2024 iaitu bermula 1 Februari sehingga 31 Disember 2024. Inisiatif ini terpakai untuk mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ (Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad).

“Inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana- mana pemegang pas/permit jangka masa panjang, kad MyKAS dan kad MyPR,” kata Loke lagi.

Jelasnya, berdasarkan dapatan kajian dan analisa statistik sepanjang tahun 2023, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat. Walau bagaimanapun bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang masih belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan tahun 2024, mereka masih boleh memilih LKM dan LMM fizikal.

“Bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim, JPJ Malaysia akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan. Sebelum ini LKM fizikal merupakan pelekat disk LKM dan LMM fizikal berbentuk kad plastik.

Proses pembaharuan lesen memand dan cukai jalan menerusi aplikasi MyJPJ; klik untuk besarkan

“Selepas ini, pengeluaran LKM dan slip LMM fizikal adalah dalam bentuk kertas keselamatan sahaja. LKM yang baharu ini tidak perlu dilekat atau dipamerkan pada cermin kenderaan sepertimana keperluan Seksyen 20 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini. Sebaliknya, ia disimpan mengikut kesesuaian orang awam. Slip LKM ini adalah tidak wajib dan bertujuan untuk memberi masa kepada mereka yang masih perlu menyesuaikan diri dengan sistem digital,” jelas Loke.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan terhadap mana- mana pihak yang memandu kenderaan tanpa mempunyai LKM atau LMM yang sah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) yang disediakan atau berhubung terus di talian khidmat pelanggan JPJ.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required