Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumumkan bahawa sistem petak parkir 2-jam dilaksana bermula hari ini di 67 petak parkir di bawah seliannya, di bawah Pewartaan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Bandaraya Shah Alam) Pindaan 2023.
“Pelaksanaan tempoh tiga bulan sebelum ini merupakan tempoh percubaan bagi mendidik dan memperkenalkan masyarakat dengan pelaksaan baru penggunaan tempat letak kereta dua jam,” kata MBSA.
Petak parkir 2-jam ini disediakan di lima lokasi iaitu Jalan Tengku Ampuan Zabedah D 9/D (Seksyen 9), Jalan Pahat F 15/F (Seksyen 15), Jalan Sepadu B 25/B (Seksyen 25), Anggerik Vanilla N 31/N (Seksyen 31), dan Jalan Prima R U13/R dan Jalan Prima F U13/F kedua-duanya di Seksyen U13.
Petak-petak parkir 2-jam ini akan ditandakan dengan warna oren dan ia berkuatkuasa dari 8 pagi hingga 5 petang, dari hari Isnin hingga Jumaat. Petak-petak yang dipilih ini adalah petak di kawasan sangat sibuk pada waktu pejabat bagi mengelakkan masalah individu yang memonopoli kawasan parkir tersebut. Ia akan dikenakan bayaran lebih tinggi iaitu RM1.20 sejam dan pengguna hanya boleh meletakkan kereta di kawasan tersebut maksimum hanya dua jam.
Pengguna boleh menggunakan enam aplikasi telefon pintar untuk membuat bayaran petak-petak parkir ini iaitu Smart Selangor Parking, Flexi Parking, GoPayy, Jom Parking, Touch n Go eWallet dan Setel. Pas bulanan tidak sah digunakan untuk petak parkir dua jam ini.
“Tiada rayuan dan tiada pengurangan kompaun diberikan bagi kesalahan penyalahgunaan petak letak kereta dua jam,” jelas MBSA lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.