Geely telah melancarkan Galaxy E8 di China, di mana ia ditawarkan dalam lima varian dengan harga antara 175,800 ke 228,800 yuan (RM114,225 ke RM148,661). E8 adalah model ketiga dalam siri Galaxy, iaitu satu jenama berasingan yang diperkenalkan oleh Geely pada tahun lepas.
Mula ditunjukkan awal melalui model konsep Galaxy Light, E8 menampilkan lampu utama yang nipis dengan DRL unik di hadapan, garis bumbung rendah, pembuka pintu sama rata dengan badan, pintu tanpa bingkai serta kecekapan rintangan angin 0.199 Cd.
Dibina atas platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang juga digunakan untuk Zeekr, smart, Volvo, Lotus dan beberapa lagi model lain Geely, E8 ini mencatat jarak roda 2,925 mm. Catatan dimensi lain adalah termasuk panjang 5,010 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,465 mm, ruang but 465 liter, ruang simpanan hadapan 53 liter, radius putaran 5.62 meter, serta kelegaan dari tanah 136 atau 143 mm.
Varian yang disediakan untuk E8 ini adalah termasuk 550km Pro dan 550km Max, dengan kedua-duanya dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) yang memberikan jarak gerak sehingga 550 km mengikut standard CLTC. Untuk jarak gerak yang lebih jauh, pelanggan boleh mendapatkan varian 665km Long Range atau 665km Smart Driving yang datang dengan bateri LFP 76-kWh, memberikan jarak gerak sehingga 665 km.
Keempat-empat varian ini menggunakan tetapan elektrikal 400 volt dan datang dengan motor elektrik terletak di belakang yang berkuasa 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan tork 343 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.95 saat dan mencatat kelajuan maksimum 190 km/j.
Menurut Geely, dengan pengecasan pantas DC pada kadar maksimum 150 kW, bateri pada empat varian ini boleh naik dari 10 ke 80% dalam masa 28 minit. Turut diberitahu adalah varian 665 km mempunyai teknologi silicon carbide dan datang dengan sistem vehicle-to-load (V2L) secara standard.
Varian paling tinggi iaitu 620km Performance adalah berbeza kerana ia datang dengan sistem elektrikal 800 volt, yang membenarkan kapasiti pengecasan pantas DC sehingga 360 kW – 10-80% SoC dalam masa 18 minit. Kapasiti bateri LFP pada model ini bagaimanapun adalah sedikit rendah, iaitu 75.6 kWh dan jarak geraknya pula adalah 620 km.
Jarak gerak yang lebih rendah ini adalah disebabkan tetapan dua motor dan pacuan semua roda, yang terdiri daripada motor elektrik belakang 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan motor elektrik hadapan 224 PS (221 hp atau 165 kW). Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 646 PS (637 hp atau 475 kW) dan tork 710 Nm, dan membantu menghasilkan pecutan 0-100 km/j lebih pantas, iaitu 3.49 saat dan laju maksimum 210 km/j.
Untuk bahagian dalam, E8 mendapat skrin panjang 45 inci di papan pemuka, dengan resolusi 8K. Walaupun skrin itu bersambung terus, ia dibahagikan kepada beberapa bahagian dengan yang di hadapan pemandu sebagai panel instrumen, tengah untuk infotainmen dan kanan sekali untuk penumpang hadapan.
Skrin ini, bersama dengan head-up display 25.6 inci pada E8 dikendalikan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8295 dan perisian Geely Galaxy N-OS. Perincian lain adalah seperti lampu suasana 256 warna, pad mengecas 50 W, sistem bunyi dengan lapan atau 12 pembesar suara serta tempat duduk yang boleh didapati dengan fungsi pengudaraan serta mengurut.
Berkenaan sistem keselamatan dan bantuan pemandu, E8 mempunyai sehingga lima sensor gelombang radar, 12 sensor ultrasonik, 10 kamera dan satu sensor LiDAR. Ini membenarkan fungsi seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan Intelligent Cruise Assist, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Change Assist, Blind Spot Monitoring, Front and Rear Cross Traffic Alert, Automated Parking dan pemanduan semi-autonomous Navigate Autopilot 2.0.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.