Susulan keadaan paras air banjir yang masih tinggi di pusat bandar Kota Tinggi Johor, polis meminta agar orang ramai agar menangguhkan sementara perjalanan mereka ke kawasan tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora dalam laporan Bernama, beberapa jalan di pusat bandar seperti Jalan Tun Seri Lanang hingga ke kawasan jambatan, selain Jalan Abdullah dan Jalan Niaga Utama masih dinaiki air menyebabkan tidak dapat dilalui kenderaan kecuali bot penyelamat.
“Saya menyeru kepada penduduk yang terjejas dan orang ramai yang ingin memasuki bandar Kota Tinggi agar menangguhkan sementara pergerakan mereka ini hingga air surut atau keadaan kembali seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita ketika operasi menyelamat di kawasan pusat bandar itu hari ini.
Hussin juga memberitahu bahawa 112 orang awam yang terperangkap dalam banjir di kawasan pusat bandar berjaya diselamatkan sejak air naik mendadak bermula 9 malam hingga 4 pagi tadi. Beliau turut menambah operasi menyelamat kebanyakkan melibatkan mangsa banjir yang terperangkap di kawasan rumah dan premis perniagaan, namun masih ada antara mereka yang enggan berpindah.
“Ada segelintir daripada mereka fikir situasi banjir ini sekejap dan tidak berbahaya. Apabila air semakin naik, (barulah) mereka mohon pertolongan dan dengan sikap profesionalisme anggota agensi penyelamat kita, semua mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara berhampiran,” katanya.
Walau bagaimanapun beliau megesahkan tiada laporan atau aduan mengenai kehilangan harta benda atau kecurian susulan banjir. Manakala berkenaan jalan yang ditutup pula, beliau berkata, meskipun ada jalan utama ditutup untuk laluan, terdapat beberapa jalan alternatif yang boleh dilalui untuk ke Mersing dan ke Kota Tinggi.
“Ada jalan seperti di Johor Bahru-Kota Tinggi dan Kota Tinggi-Mersing melalui pintasan dan jalan Simpang Pasak ke lampu isyarat Bandar Penawar untuk ke Johor Bahru, tetapi ia mengambil masa yang agak panjang kerana pengalihan jalan,” tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.