Sisma Auto Hub Sungai Besi – pusat 3S berbilang-jenama untuk jualan, selenggara dan baik pulih

Sisma Auto Hub Sungai Besi – pusat 3S berbilang-jenama untuk jualan, selenggara dan baik pulih

Sisma Auto telah membuka pusat 3S (jualan, selenggara dan alat ganti) berbilang-jenama keduanya, Sisma Auto Hub yang bertempat di Wisma Sisma di 855, Lebuhraya Sungai Besi, Kuala Lumpu. Ia merupakan Auto Hub kedua milik syarikat berkenaan, selepas pembukaannya yang pertama di Glenmarie, Shah Alam pada Februari 2022.

Menurut Pengarah Urusan Sisma Auto Group Syed Khalil Syed Ibrahim, pembukaan Auto Hub ini adalah bagi memperluaskan penawaran 3S berbilang jenamanya untuk memenuhi keperluan pelanggannya yang semakin meningkat. Pembukaan Sisma Auto Sungai Besi Auto Hub ini juga adalah hasil kejayaan cawangan Glenmarie yang dibuka, kata syarikat tersebut, selain bersedia untuk terus menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan selama lebih 25 tahun sebagai pengedar francais bagi Jaguar, Land Rover, Volvo dan BYD di Malaysia.

“Di Sisma Auto Hub, kami menawarkan pengalaman 3S premium yang sama bagi segala keperluan kereta mewah anda tanpa mengira dari mana asalnya. Sama ada anda ingin membeli, menjual atau mendapatkan servis untuk kereta mewah, anda boleh mendapatkan segala perkhidmatan tersebut di Sisma Auto Hub. Kejayaan operasi cawangan Glenmarie kami menunjukkan bahawa terdapat permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan unik yang kami tawarkan.

“Pusat baharu yang canggih ini dibina khas dengan saiz yang lebih besar dan kemudahan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang kian bertambah. Dengan lokasi yang strategik di Lebuhraya Sungai Besi yang memberikan akses mudah melalui beberapa lebuhraya, Sisma Auto Hub Sungai Besi berupaya menyediakan perkhidmatan kepada kumpulan pelanggan yang besar di Lembah Klang. Masukkan saja lokasinya di Waze dan saksikan sendiri betapa mudahnya untuk ke sana,” katanya lagi.

Pemilik kenderaan juga boleh menjual kenderaan mewah mereka di Sisma Auto Hub, yang dipilih berdasarkan perbatuan dan keadaannya. Setiap buah kereta perlu menjalani pemeriksaan yang teliti dan dibaik pulih supaya ia berada dalam keadaan yang terbaik.

Bagi pusat servisnya pula, ia mempunyai kelengkapan dan peralatan diagnostik terkini untuk menyenggarakan semua jenama kereta buatan Eropah. Ia menyediakan perkhidmatan untuk semua jenama kereta mewah tanpa mengira sumber, sama ada kenderaan yang dibeli menerusi import selari atau yang telah tamat waranti daripada pengeluar.

Pasukan Sisma Auto Hub yang terdiri daripada mekanik terlatih mampu menjalankan kerja-kerja servis, penyenggaraan dan pembaikan, termasuklah kerja pembaikan besar. Perkhidmatan lain yang turut disediakan adalah servis tayar, penjajaran dan pengimbangan roda, servis penyaman udara dan penukaran cermin depan.

Di samping itu, kakitangan pusat ini juga boleh membantu dalam proses tuntutan insurans bagi kes-kes kemalangan. Sisma Auto Hub juga merupakan pembaik panel bagi Warranty Smart, yang merupakan penyedia waranti kenderaan terkemuka.

Sisma Auto Hub Sungai Besi baharu ini terletak di Wisma Sisma di 855, Lebuhraya Sungai Besi, Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur. Waktu operasi adalah dari 9 pagi hingga 7 malam dari Isnin hingga Jumaat, dan dari 10 pagi hingga 5 petang bagi Sabtu dan Ahad.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required