Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memberkas enam individu yang dipercayai ahli kumpulan sindiket yang terlibat dengan aktiviti mengelak cukai kenderaan mewah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan yang dianggarkan bernilai lebih RM33 juta.
Enam individu terbabit dijangka akan didakwa di mahkamah hari ini dengan lebih 21 pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen dengan niat menipu, kata Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman kepada Utusan Malaysia. Seksyen 468 undang-undang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda bagi mereka yang disabitkan kesalahan.
Kesemua suspek yang diberkas itu merupakan pengusaha dan runner perkhidmatan gudang penyimpanan kereta mewah di Langkawi dan pernah ditahan SPRM menerusi satu operasi khas satu‘Op Eagle’ pada Julai 2023. Pemilik kereta mewah pelbagai jenama termasuk Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, McLaren dan Rolls Royce itu juga sedang dalam siasatan pihak SPRM.
“SPRM juga sedang menyiasat pemilik-pemilik kereta terbabit di bawah kesalahan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) kerana memilik serta melupuskan hasil kegiatan jenayah serius ini,” kata Azmi.
Menurut laporan Utusan, tujuh individu pada mulanya ditahan pada Julai 2023 dalam ‘Op Eagle’ selepas laporan Ketua Audit Negara 2022 mendedahkan kerugian RM72 juta dalam kutipan duti untuk lebih 100 kenderaan mewah dari Jabatan Kastam Langkawi antara 2012 dan 2021.
SPRM kemudian membongkar sindiket yang dikatakan bersekongkol dengan pemilik kereta mewah untuk mendapatkan pengecualian dan potongan duti walaupun tidak layak, dan kononnya telah mengemukakan pengakuan berkanun palsu mengenai pemilikan kenderaan kepada kastam. Fasa pertama Op Eagle menyaksikan suruhanjaya itu merampas sembilan kereta mewah bernilai sekitar RM12 juta dari bahagian utara tanah air, Johor dan Sabah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.