Selepas teaser dikeluarkan dan pra tonton dibuat Disember lalu, BYD Seal tidak lama lagi akan dibuka untuk tempahan awal, iaitu pada 19 Disember 2023. Perkara ini dinyatakan dalam satu muatan oleh BYD Cars Malaysia di laman Instagram.
Sedan elektrik empat pintu dengan gaya seperti coupe ini dijangka tiba ke dalam pasaran Malaysia dalam tiga varian, bermakna serupa seperti di Singapura, Thailand dan Australia. Varian permulaan adalah Dynamic Standard Range pacuan dua roda belakang, dengan tetapan satu motor di belakang berkuasa 204 PS/310 Nm dan padanan bateri lithium ion phosphate (LFP) Blade 61.4 kWh, mampu memberikan jarak gerak 460 km (WLTP).
Varian seterusnya adalah Premium Extended Range, yang juga menggunakan tetapan satu motor RWD, tetapi dengan kuasa 313 PS dan tork 360 Nm, bersama bateri LFP 82.5 kWh yang lebih besar, memberikan jarak gerak sekitar 570 km.
Paling tinggi adalah varian Performance AWD, yang menggunakan pacuan semua roda hasil gabungan motor hadapan 215 PS/310 Nm dan motor belakang 313 PS/360 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 530 PS dan 670 Nm. Ia mendapat bateri LFP 82.5 kWh dan mampu memberikan jarak gerak sekitar 520 km (WLTP).
Untuk mengecas, dalam keadaan asas Seal boleh menerima kuasa AC sehingga 7 kW melalui sambungan Type 2 dan akan mengambil masa 8.6 jam untuk penuh sementara apabila menggunakan sumber DC melalui sambungan CCS2 pula, ia boleh naik sehingga 110 kW. Varian Premium Extended Range dan Performance AWD yang menggunakan bateri lebih besar akan mengambil masa 15.2 jam untuk penuh menggunakan AC 7 kW, tetapi apabila menggunakan DC ia cuma akan mengambil masa 37 minit untuk naik dari 10% ke 80%.
Untuk harga, jumlah tepatnya masih belum didedahkan tetapi salah seorang jurujual semasa di acara pra tonton Disember lalu telah memberi petunjuk ia akan bermula dari RM180k untuk varian asas Dynamic, diikuti RM200k untuk Premium Extended Range dan RM220k untuk Performance AWD.
GALERI: BYD Seal yang dipertonton di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.