Bagi tahun 2023, Malaysia mencatatkan rekad baru angka jualan kenderaan secara keseluruhannya dengan mencapai TIV 799,731 unit. Angka ini 11% lebih tinggi berbanding tahun 2022 yang menyaksikan sebanyak 721,177 unit terjual, yang ketika itu juga merupakan rekod baru.
Ini adakah kesan pemulihan akibat tempoh pandemik Covid-19, yang telah membuatkan angka jualan kenderaan turun banyak bagi tahun 2020-2021. Ini kali kedua TIV melebihi angka 700,000 unit. Begitu juga dengan pengeluaran keseluruhan, yang naik 10% kepada 774,600 unit, juga rekod tertinggi yang pernah dicapai.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), pertumbuhan ini didorong antara lain oleh segmen kenderaan penumpang, dengan keadaan ekonomi domestik yang kukuh serta persekitaran sosio-ekonomi yang stabil. Selain itu, faktor besar yang lain juga serahan ketika tempoh pengecualian SST yang perlu diselesaikan sebelum 31 Mac 2023.
Selain itu, pelancaran banyak model baru termasuk EV dengan pakej harga yang menarik (bebas cukai untuk unit CBU) serta rantaian bekalan industri yang semakin bertambah baik akibat gangguan bekalan ketika Covid dahulu.
Mengikut pecahan, kenderaan penumpang menyumbang kepada pertumbuhan ini, dengan angka 719,160 unit terjual yang mewakili peningkatan 12%, dan menyumbang kepada 89.9% keseluruhannya. MPV menjadi jenis kenderaan yang catat pertumbuhan paling ketara dengan 27.6% — ini tentulah disumbangkan oleh model generasi kedua Perodua Alza tahun lalu. Kereta penumpang pula meningkat sebanyak 11.2% dan SUV pula 9.7%. Trak pikap pula mencatatkan peningkatan 1.5%.
Bagi jenama nasional, gabungan Proton dan Perodua berhasil menjual sebanyak 481,300 unit pada 2023, mewakili 66.9% perkongsian pasaran bagi kenderaan penumpang. Ini naik daripada 65.1% pada 2022. Bagi jenama bukan nasional pula, perkongsian pasarannya adalah 33.1%: pertumbuhan 6% berbanding 224,112 unit pada 2022 kepada 237,860 unit tahun lalu.
EV juga catat peningkatan ketara, iaitu sebanyak 69%, daripada 22,619 unit pada 2022 kepada 38,055 unit tahun lalu — ini juga mengisi 5% daripada jumlah TIV. Daripada jumlah ini, 28,055 unit adalah kenderaan hibrid (termasuk mild-hybrid BSG), sementara 10,159 unit adalah kenderaan bateri elektrik.
Ini membawa kepada pertumbuhan sebanyak 40% antara dua tahun berkenaan bagi kenderaan hibrid, sementara peningkatan 286% untuk EV yang pada 2022 hanya terjual 2,631 unit. Data bagi xEV ini bagaimanapun tidak termasuk kenderaan yang dijual oleh Tesla, kerana syarikat itu bukan ahli MAA.
Bagi 2024, MAA mensasarkan jualan kenderaan xEV akan mencapai tahap 9%, yang mana 2% daripadanya adalah kenderaan EV, dari TIV. Sasaran TIV untuk 2024 juga diletakkan kepada 740,000 unit, dengan 74,000 unit daripadanya kenderaan hibrid, dan 14,800 unit untuk kenderaan elektrik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.