BMW Group Malaysia dan Auto Bavaria, rangkaian pusat pengedaran BMW bertauliah yang terbesar di Malaysia juga telah melancarkan bilik pameran canggih mereka yang terbaharu, dibina menerusi konsep Retail.NEXT yang berpaksikan pelanggan di kawasan perbandaran Balakong. Bilik pameran baharu ini juga adalah bagi menggantikan Auto Bavaria Sungai Besi.
Fasiliti yang telah beroperasi sepenuhnya turut menjadi antara bilik pameran BMW Group yang terbesar di dalam negara dan yang pertama di Lembah Klang dengan membawakan konsep rekaan dan perkhidmatan inovatif yang disebut sebagai Retail.NEXT.
Dengan ruang seluas 240,057 kaki persegi, Auto Bavaria Balakong menyediakan suasana kelas pertama yang mencerminkan pengalaman pemilikan premium menerusi bahasa rekaan moden serta latar hadapannya yang merangkumi sebuah taman dan teres luar. Ruang konsultasi pelanggan serba interaktif dilengkapi dengan alatan niaga digital yang inovatif terletak di lokasi-lokasi strategik merentasi bilik pameran tersebut.
Bilik pameran ini juga menampilkan Grand Klasse Lounge dengan wajah baharu, termasuk ruang penyerahan yang menambah sentuhan kemewahan dan eksklusiviti. Ia juga menampilkan pelbagai fasiliti berpaksikan gaya hidup termasuk BMW Café dan ruang singgah, memberikan para pelanggan akses kepada ruang bertaraf premium untuk bersantai semasa berkunjung ke sini.
Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad berkata, “Kami berasa amat teruja untuk membuka tirai bilik pameran BMW yang antara terbesar di Malaysia untuk sesi previu yang eksklusif ini bersama warga media, menandakan satu titik sejarah yang signifikan dalam komitmen kami untuk membawakan pengalaman automotif yang cemerlang buat para pelanggan. Konsep pusat pengedaran Retail.NEXT ini menyulam unsur fizikal-digital dengan estetika moden dan juga persekitaran yang menarik.
“Segala aspek bilik pameran Auto Bavaria Balakong telah dirumus dengan terperinci bagi menaik taraf pengalaman melihat dan membeli, menggandingkan ciri-ciri kemewahan dan kelestarian di setiap sudut. Kami berazam untuk bukan sahaja menyediakan barisan kenderaan premium, tapi juga dengan konsistennya menaik taraf kemewahan pengalaman kepenggunaan buat para pelanggan kami, menjanjikan perkhidmatan pascajualan yang komprehensif, mewujudkan sebuah suasana bertaraf premium yang pastinya melengkapi pengalaman pemilikan para pelanggan.”
Auto Bavaria Balakong ini mempamerkan pelbagai model kenderaan daripada BMW Group termasuk model-model BMW dan BMW i, di samping kenderaan daripada portfolio MINI, BMW dan BMW Premium Selection. Bilik pameran ini terletak di Jalan Tengah, Cheras Selatan 118 dan waktu operasi dari jam 8 pagi-5 petang untuk hari Isnin-Jumaat, 8 pagi-5.30 petang pada Sabtu dan 10 pagi-5 petang setiap Ahad.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.