Selepas banyak teaser dikeluarkan, BYD Seal akhirnya dibuka untuk tempahan awal di Malaysia. Melihat kepada borang tempahan dalam talian yang dikeluarkan oleh BYD, dinyatakan secara jelas bahawa bayaran tempahan RM1,000 yang dibuat akan dimasukkan sekali ke dalam harga keseluruhan kenderaan. Malaysia mendapat Seal dalam tiga varian iaitu Dynamic, Premium dan Performance, tetapi harga sebenarnya masih belum diumum.
Bagi model permulaan Dynamic, ia menggunakan tetapan satu motor yang memacu roda belakang, dengan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 310 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat. Bateri lithium-iron phospate (LFP) Blade 61.4 kWh padanya boleh memberikan jarak gerak sehingga 510 km mengikut kitaran NEDC dan jika mengikut WLTP, ia berada pada sekitar 460 km.
Varian Premium juga menggunakan tetapan satu motor serta pacuan roda belakang sama, tetapi mempunyai kuasa dan kapasiti bateri yang lebih tinggi. Motor elektriknya mampu menghasilkan kuasa 313 PS (230 kW) dan 360 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat. Dengan menggunakan bateri LFP 82.5 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak 650 km mengikut NEDC dan 570 km mengikut WLTP.
Varian paling atas bagi sedan EV ini adalah Performance, yang datang dengan tetapan dua motor dan pacuan AWD, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 530 PS (390 kW) dan tork 670 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 3.8 saat. Ia menggunakan bateri 82.5 kWh sama seperti varian Premium, tetapi jarak geraknya berkurang sedikit menjadi 580 km (NEDC) atau 520 km (WLTP).
Untuk pengecasan, Seal Dynamic boleh menerima AC Type 2 sehingga 7 kW (0-100% dalam masa 8.6 jam) dan DC CCS2 sehingga 110 kW. Premium dan Performance juga boleh dicas menggunakan AC 7 kW (15.2 jam untuk penuh), tetapi DC meningkat sehingga 150 kW, membolehkan baterinya naik dari 10-80% dalam masa 37 minit.
Beberapa warna disediakan untuk Seal ini, dengan varian Dynamic terdiri daripada pilihan Cosmos Black atau Aurora White, sementara warna Atlantis Grey disediakan pada dua varian teratas. Warna Arctic Blue pula disediakan khas untuk varian Performance.
GALERI: BYD Seal yang dipertonton di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.