Sebuah lori telah merempuh enam buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang mengakibatkan seorang pemandu mengalami cedera ringan, laporan Astro Awani.
Dalam kejadian yang berlaku pada pagi semalam, lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Tasek Gelugor menuju ke Lunas, Kedah dikatakan mengalami masalah brek, menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad yang menerima panggilan dari orang ramai kira-kira jam 11.15 pagi.
“Apabila tiba di lampu isyarat Jalan Ara Kuda dikatakan brek lori tidak berfungsi menyebabkan pemandu cuba mengawal dan memperlahankan kenderaannya dengan bergerak ke kiri dan ke kanan. Namun, lori tidak berhenti dan merempuh kenderaan lain yang sedang berhenti disebabkan lampu isyarat itu,” kata Siti Nor Salawati.
Siti Nor Salawati berkata lori itu telah merempuh dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Viva dan Proton Waja. Bagaimanapun, impak pelanggaran kedua-kedua kenderaan itu menyebabkan kereta mereka bergerak dan melanggar kenderaan di hadapan menyebabkan lain-lain kereta yang berada di hadapan menggelongsor ke hadapan lalu melanggar kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.
“Akibat kejadian tersebut, seorang pemandu kereta mengalami cedera ringan manakala pemandu kenderaan lain tidak cedera. Kes disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah Kaedah Lalulintas 1959,” tambahnya lagi.
Menerusi video insiden berdurasi 28 saat yang tular itu, kelihatan beberapa kenderaan dilihat sedang berhenti di sebuah persimpangan. Namun, sebuah lori kemudiannya dilihat meluru laju dari arah kiri ke kanan dipercayai kerana mengalami masalah brek sebelum merempuh kenderaan di hadapannya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.