Kecuaian pemandu dan penunggang motosikal dikatakan menjadi faktor penyebab bagi hampir 90% kemalangan jalan raya di Pahang. Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh @ Mohd Daud, data itu berdasarkan kaji selidik yang dilakukan.
Menurut Kamarulzaman, antara faktor kecuaian termasuklah sikap gopoh dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas antaranya memotong di garisan berkembar dan selekoh.
“Kebanyakan penunggang motosikal menunggang laju kemudian keluar masuk simpang serta menukar arah lorong tanpa mengambil kira keberadaan kenderaan lain,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Selain itu,katanya, faktor cuaca dan keadaan permukaan jalan yang beralun turut menyumbang kepada kemalangan jalan raya di negeri ini.
“Pahang negeri yang luas dan keadaan bentuk muka buminya yang kebanyakan berbukit antaranya di Bentong, Cameron Highlands, Raub, Kuala Lipis malah kita di Pantai Timur kerap menerima hujan dan dalam keadaan hujan lebat sekalipun, terdapat pengguna masih memandu laju,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan jumlah kemalangan jalan raya di Pahang pada 2023 mencatatkan peningkatan 4.8% kepada 23,591 kes berbanding 22,511 kes tahun sebelumnya, dengan Kuantan merekodkan kes tertinggi diikuti Bentong, Temerloh, Maran dan Rompin.
“Kemalangan jalan raya di Pahang turut meragut nyawa 492 individu pada tahun lepas berbanding 447 individu pada 2022, iaitu meningkat sebanyak 10.1%. Ia membabitkan kereta mencatatkan angka sebanyak 16,989 kes manakala motosikal 3,355 kes dengan selebihnya lain-lain kenderaan.
“Antara kawasan hotspot kemalangan dikenal pasti antaranya di laluan bypass di Kuantan, Rompin ke Muadzam Shah, Rompin ke Pekan, Kuala Lumpur-Karak dan Kuala Lipis,” katanya.
Beliau turutmenambah sebanyak 153,369 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun 2023. Manakala lebih RM5 juta kutipan kompaun dan bayaran denda mahkamah berkaitan kesalahan trafik telah diperoleh pada tahun lepas.
Beliau yang bakal bersara wajib pada 27 Januari ini selepas 38 tahun menabur bakti dalam pasukan polis turut menitipkan pesanan buat pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan antaranya jangan terburu-buru ketika berada persimpangan lampu isyarat dan laluan berselekoh.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.