Great Wall Motor Malaysia (GWM) telah membuat pengesahan bahawa Ora 07 akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2024. Sebelum ini, kenderaan elektrik itu cuma ditunjuk dalam teaser, tanpa sebarang perincian lain.
Selain daripada itu, GWM Malaysia juga memberitahu, Ora 07 akan tiba dalam dua versi, iaitu yang menggunakan tetapan satu motor elektrik dengan jarak gerak 640 km dan juga yang menggunakan dua motor elektrik dengan pacuan semua roda dan jarak gerak 550 km.
Jarak gerak (NEDC) ini menyamai dua varian yang dijual di Thailand, yang mana kedua-duanya menggunakan bateri ternary lithium 83.5-kWh. Di Thailand, pilihan variannya bermula dengan Long Range yang mempunyai motor elektrik hadapan dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, kemudiannya diikuti varian Performance dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 680 Nm.
Tiada sebarang maklumat disiarkan berkenaan dengan harga buat masa ini, tetapi jika melihat kepada pasaran Thaland, Ora 07 dijual antara 1.299-1.499 juta baht (RM172k-RM199k). Apabila dilancarkan nanti, Ora 07 akan menjadi EV kedua jenama itu di Malaysia, mengikuti langkah Good Cat.
“Kami teruja untuk membawa Ora 07 ke Malaysia, menguatkan lagi komitmen kami untuk menyediakan kepada pelanggan pilihan pengangkutan yang terbaik dan mesra alam,” kata pengarah urusan GWM Malaysia, Cui Angi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.