Menurut Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), terdapat 254 lokasi cerun kritikal di Malaysia yang telah dikenal pasti sebagai berisiko terhadap tanah runtuh. Ketua Pengarah JMG, Datuk Zamri Ramli berkata, 104 lokasi dikelaskan sebagai berisiko tinggi, 97 berisiko sederhana dan 53 risiko rendah, lapor The Star.
Sabah mencatatkan angka cerun kritikal tertinggi dengan 36 lokasi. Ini diikuti oleh Johor, Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu dengan 25 lokasi setiap negeri, Sarawak dan Selangor dengan 21 lokasi, Negeri Sembilan (19), Pulau Pinang (13), Kedah (8), Melaka (6), Perlis (4) dan Kuala Lumpur (1).
“Pengkelasan dan pemantauan cerun-cerun yang dinyatakan ini dilakukan secara berperingkat, dengan laporannya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan serta agensi atau jabatan teknikal terlibat untuk membantu dan menggerakkan langkah penyelenggaraan atau penghindaran. Maklumat sama turut diberikan kepada agensi penyelamat sebagai persediaan mereka dalam berhadapan dengan situasi geologikal,” ujar Zamri.
Beliau menambah, kerja-kerja penghindaran sudah selesai di 37 daripada 254 lokasi berkenaan. Sementara itu, 15 kawasan lagi sedang menjalaninya, dan baki 202 lokasi sedang dipantau untuk tindakan selanjutnya.
Zamri juga menyatakan 31 kawasan berisiko tinggi tanah runtuh telah dikenal pasti, termasuk lokasi di sepanjang lebih raya seperti di Lebuhraya Lingkaran Timur-Barat, laluan Tapan-Cameron Highlands, Seremban-Simpang Pertang, Rembau-Johol dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
Lain-lain lokasi berisiko adalah di Sungai Buloh, Bukit Antarabangsa, Genting Peras, sementara di Sabah dan Sarawak pula melibatkan Kota Kinabalu, Kundasang, Sandakan, Miri, Kapit dan Bau. Lokasi titik panas ini melibatkan 6,431 kejadian tanah runtuh dan 602 kematian dari 11 Mei 1961 hingga 17 Disember 2023 — denga kemaskini titik panas tanah runtuh ini dilakukan dari semasa ke semasa.
Zamri juga menekankan yang Lata Iskandar Forest Ecopark di Perak, Sungai Tua Forest Ecopark di Selangor, Jeram Toi Forest Ecopark di Negeri Sembilan, Chamang Forest Ecopark di Pahang serta Lata Payung, Chemerong dan Air Menderu Forest Ecoparks di Terengganu juga berpotensi mengalami aliran serpihan dan sisa tanah runtuh.
Mereka yang tinggal berdekatan kawasan cerun atau lokasi dengan sejarah kejadian tanah runtuh dinasihatkan memberi perhatian kepada persekitaran mereka, seperti pergerakan cerun, rekahan tanah, dinding, tiang serta jalan, dan melaporkan secepatnya kepada JMG atau pihak berkuasa tempatan jika terdapat sebarang keraguan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.