Daihatsu mengumumkan tempoh penghentian sementara operasi produksi kilangnya di Jepun kerana skandal penyelewengan ujian keselamatan yang sepatutnya berakhir pada hujung bulan ini, nampaknya dipanjangkan lagi sehingga pertengahan Februari.
Menurut syarikat itu, operasi tiga dari kilangnya di Jepun iaitu Kilang Shiga (Ryuo) No.2, Kilang Oita Daihatsu Kyushu No.1/No.2 dan Kilang Copen Ikeda akan terus dihentikan sepenuhnya sehingga bulan Februari. Manakala beberapa bahagian produksi untuk Kilang Oyamazaki di Kyoto kini sedang dipertimbangkan untuk beroperasi semula.
Walaupun pengeluaran Daihatsu Thor, Toyota Roomy dan Subaru Justy di kilang itu tidak akan disambung semula sehingga sekurang-kurangnya 16 Februari, Daihatsu menyatakan bahawa produksi untuk Toyota Probox dan Mazda Familia Van sedang dipertimbangkan, tetapi ia masih akan mengambil kira maklum balas pelanggan, status kesediaan pembekal dan faktor lain yang berkaitan sebelum sebarang keputusan mengenai perkara itu dibuat.
Sebelum ini Daihatsu dilaporkan akan mengalami kerugian sehingga lebih dari 100 bilion yen (RM3.2 bilion) kerana operasi produksi yang terpaksa dihentikan sehingga akhir Januari ini, dan juga kos yang perlu ditanggung untuk memberikan pampasan kepada pembekal yang terlibat. Dengan pemanjangan tempoh penghentian sementara operasi produksi ini mungkin akan menyebabkan kerugian tersebut akan terus meningkat.
Minggu lalu kementerian tanah, infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan (MLIT) Jepun telah menarik semula sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi trak pikap Daihatsu Gran Max serta kembarnya Toyota Town Ace dan Mazda Bongo yang dijual di pasaran Jepun, serta memanggil semula sejumlah 322,740 unit kembar K-Car Daihatsu Cast dan Toyota Pixis Joy berhubung skandal ini.
MLIT yang mengendalikan siasatan kes itu juga telah mengeluarkan arahan pembetulan yang menggesa Daihatsu agar membuat pembaharuan asas kepada struktur korporat yang terlibat dalam penyelewengan prosedur tersebut. Ini bagi memastikan perkara yang sama tidak akan berlaku lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
kenapa ini berlaku.. campur tangan bangsa lain ke