Modenas Ninja ZX-25R SE yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan September tahun lepas kini ditawarkan dalam warna baru Metallic Phantom Silver X Ebony (Stormcloud Blue). Ia adalah sebagai pengganti kepada warna hitam matte sebelum ini, sementara warna hijau masih dikekalkan. Harga cadangan yang dikeluarkan oleh Modenas adalah RM33,900 tidak termasuk insurans.
Selain warna, bahagian lain motosikal ini tidak berubah. ZX-25R SE dipacu oleh enjin empat silinder DOHC 249.8 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan quickshifter, dan ia mampu menghasilkan kuasa 46 hp pada 15,500 rpm dan tork 22 Nm pada 12,500 rpm.
Versi SE yang tiba di pasaran Malaysia ini sebenarnya mempunyai senarai kelengkapan yang istimewa berbanding pasaran lain, di mana ia mendapat beberapa barang daripada versi RR iaitu fork Showa SFF-BP 37 mm dengan pelarasan pra beban serta pilihan warna hijau KRT. Di pasaran lain, dua perkara ini hanya disediakan untuk versi RR yang lebih tinggi.
Membezakan versi SE pasaran Malaysia dengan versi RR cuma adalah monoshock belakang, di mana RR mendapat monoshock Showa BFRC yang bukan setakat boleh dilaras untuk pra beban, tetapi juga mampatan. Kemudiannya, RR juga datang dengan soket pengecas USB.
Brek menggunakan unit cakera tunggal floating 310 mm berserta angkup monoblock empat piston di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup dua piston di belakang. Turut disediakan adalah pilihan dua mod tunggangan (Full atau Low), kawalan cengkaman KTRC serta throttle valve elektronik. Berat keseluruhannya adalah 182 kg manakala tangki bahan api mempunyai kapasiti 15 liter.
GALERI: Modenas Ninja ZX-25R SE
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.