Pengeluar kenderaan elektrik, Polestar nampaknya berada dalam keadaan yang tidak berapa baik sekarang. Awal bulan ini, ia memberitahu tidak dapat mencapai sasaran jualan tahun 2023 disebabkan inflasi, permintaan rendah serta perang harga yang dicetuskan oleh Tesla dan pengeluar China seperti BYD.
Sekarang, jenama yang dijadikan oleh Volvo dan Geely sebagai sebuah entiti berasingan pada tahun 2017 ini mengumumkan rancangan untuk mengurangkan sekitar 450 tenaga kerja sedunia – lapor Reuters. Pengurangan sehingga 15% tenaga kerja keseluruhan mereka ini dikatakan berlaku akibat “keadaan pasaran yang mencabar.”
Pada tahun 2023, Polestar berjaya menyerahkan 54,600 kenderaan kepada pelanggan dan ini adalah peningkatan 6% berbanding tahun 2022. Walaubagaimanapun, pada tahun sebelum itu (2021), mereka menikmati peningkatan yang jauh lebih tinggi, iaitu 84%. Apa yang lebih penting, sasaran jualan 60,000 (dikurangkan daripada 80,000 asalnya) yang ditetapkan untuk tahun 2023 juga gagal dicapai.
November lalu, jenama dari Sweden ini membentangkan rancangan perniagaan yang dirombak semula, meletakkan sasaran untuk menyuntik dana US$1.3 bilion (RM6.15 bilion) supaya dapat pulang modal pada tahun 2025 dan mengurangkan kebergantungan kepada Volvo.
“Sebagai sebahagian daripada rancangan ini, kami perlu melaras semula saiz operasi dan perniagaan secara keseluruhan. Ini melibatkan pengurangan perbelanjaan serta malangnya, juga jumlah pekerja,” lapor Reuters yang memetik kata-kata daripada salah seorang wakil Polestar.
Sepanjang beberapa tahun lepas, banyak pengeluar kenderaan mengeluarkan amaran bahawa pertumbuhan yang dijangkakan untuk kenderaan elektrik (EV) adalah perlahan akibat permintaan rendah, potongan harga, subsidi rendah serta masalah rangkaian bekalan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.