Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengeluarkan kenyataan berhubung satu video viral yang memaparkan seorang anggota polis trafik kelihatan ‘menawarkan diskaun saman’ terhadap pasangan dari United Kingdom yang ditahan atas kesalahan memandu melebihi had laju.
Pengarah JSPT Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular menerusi platform Youtube Tread the Globe mengenai tindakan anggota trafik menyaman dan menawarkan diskaun bayaran saman di lokasi kejadian ke atas pasangan berkenaan yang sedang jelalah Malaysia dengan menggunakan camper van.
“Pihak JSPT sedang menjalankan siasatan terperinci bagi menyiasat dakwaan itu dan tidak akan bertoleransi dengan sebarang tingkahlaku oleh mana-mana anggota dan pegawai terlibat. JSPT turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat dan kepada sesiapa yang mempunyai info mengenai kejadian diminta menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” kata Mohd Azman menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Menerusi video tular berkenaan, kelihatan seorang anggota trafik mendakwa pasangan terbabit memandu selaju 80 km/j sementara had laju di laluan berkenaan hanyalah 60 km/j lalu mengeluarkan saman. Bagaimanapun, anggota terbabit menawarkan diskaun saman daripada RM300 menjadi RM100 sahaja jika dibayar secara terus kepada dirinya tanpa perlu ke balai polis.
Selepas ‘membayar’ saman terbabit, kelihatan pasangan UK berkenaan agak keliru dengan ‘tindakan memandu melebihi had laju berkenaan. Walau bagaimana pun, mereka berpendapat mungkin dengan ‘membayar saman secara terus’ dengan anggota terbabit, kadar saman lebih rendah berbanding jika dibayar di balai polis. “Great option,” kata mereka.
Apa pun, biarlah pihak JSPT yang melakukan siasatan dan menentukan sebarang tindakan. Tetapi dengan adanya kamera papan pemuka atau dashcam di dalam kenderaan kini amat penting kerana ia juga boleh dijadikan bahan bukti untuk apa jua kejadian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.