Toyota kesan penyelewengan pensijilan emisi terhadap tiga enjin diesel; Hilux, Fortuner terjejas

Toyota kesan penyelewengan pensijilan emisi terhadap tiga enjin diesel; Hilux, Fortuner terjejas

Toyota hari ini mengeluarkan satu kenyataan mengumumkan bahawa anak syarikatnya yang ditugaskan bagi membangunkan enjin-enjin diesel bagi kegunaan automobil iaitu Toyota Industries Corporation (TICO) didapati terlibat dalam penyelewengan ujian pensijilan emisi bagi beberapa enjin yang dihasilkan syarikat tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penyelewengan itu dikesan oleh jawatankuasa siasatan khas yang diwujudkan bagi menyiasat kemungkinan penyelewengan pensijilan berkaitan dengan pensijilan emisi domestik yang tidak menepati peraturan.

Syarikat itu menyatakan bahawa menerusi siasatan yang dibuat, jawatankuasa itu mendapati bahawa penyelewengan berlaku semasa ujian output kuasa kuda untuk pensijilan tiga model enjin diesel untuk automobil yang telah dibina oleh TICO bagi digunakan pada model-model Toyota.

TICO dikesan menggunakan kotak komputer enjin (ECU) yang dengan berbeza dalam ujian penghasilan kuasa kuda berbanding yang dilengkapkan pada model produksi sebenar yang dijual dalam pasaran. Ia dibuat bagi memastikan enjin berkenaan menghasilkan nilai-nilai yang diukur nampak lebih lancar dan kurang variasi ketika ujian prestasi tersebut dijalankan.

Toyota kesan penyelewengan pensijilan emisi terhadap tiga enjin diesel; Hilux, Fortuner terjejas

Toyota mengesahkan bahawa 10 model kenderaannya terjejas kerana menggunakan enjin-enjin yang terlibat dalam penyelewengan tersebut secara global iaitu enjin 1GD, 2GD dan F33A, di mana enam daripada model itu dijual pada pasaran domestik Jepun.

Enjin 1GD 2.8 liter merupakan enjin yang digunakan pada Land Cruiser Prado yang dibuat bermula Ogos 2020, HiAce/GranAce/Bongo Brawny bermula 2017 dan Hino Dyna/Dutro bermula Mei 2021, dan juga Hilux yang dibuat di Thailand serta Fortuner yang dibuat di Indonesia bermula Mei 2020.

Enjin 2GD 2.4 liter pula merupakan enjin yang digunakan pada Toyota Hilux yang dipasang di Thailand dan Toyota Innova yang dipasang di India bermula Mei 2020. Manakala enjin F33A 3.3 liter V6 pula adalah enjin yang dipasang pada Land Cruiser 300 dan LX 500d yang dipasang oleh Toyota Auto Body.

Berdasarkan hasil siasatan yang dibuat, TICO telah mengambil keputusan bagi menangguhkan sementara penghantaran enjin-enjin yang terjejas, serta turut menghentikan sementara penghantaran kenderaan-kenderaan yang menggunakan enjin-enjin tersebut.

Toyota kesan penyelewengan pensijilan emisi terhadap tiga enjin diesel; Hilux, Fortuner terjejas

Manakala bagi enjin-enjin yang sudahpun digunakan dalam kenderaan yang telah dijual, Toyota menyatakan bahawa pihaknya telah melakukan penilaian semula terhadap enjin-enjin yang diproduksi di kilang, serta mengesahkan enjin-enjin dan model-model yang terjejas masih lagi mencapai standard penghasilan prestasi yang ditetapkan. Oleh itu pemilik-pemilik kenderaan berkenaan masih boleh terus menggunakannya tanpa masalah.

“Walau bagaimanapun, kami amat memohon maaf kepada pelanggan kami yang telah memberikan sokongan terhadap kenderaan yang terjejas dan menunggu untuk masa yang lama, dan juga kepada semua pihak berkepentingan yang lain atas kesulitan dan kegusaran yang besar yang telah timbul disebabkan oleh perkara ini,” kata Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Syarikat itu juga menyatakan bahawa ia akan memberikan penerangan yang lebih terperinci kepada pihak berkuasa serta segera meneruskan langkah-langkah yang sesuai, termasuk menjalankan ujian di hadapan saksi, sekiranya perlu berbuat demikian.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required