Susulan video yang dimuatnaik oleh pasangan dari United Kingdom yang memaparkan seorang anggota polis trafik Malaysia kelihatan ‘menawarkan diskaun saman’ selepas mereka ditahan kerana melebihi had laju baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini telahpun mengeluarkan satu kenyataan yang mengesahkan bahawa tiga anggota polis trafik telah ditahan berhubung kes berkenaan.
Menurut Ketua Polis Perak Dato Sri Mohd Yusri Bin Haji Hassan Basri, tiga anggota trafik tersebut adalah dari Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak masing-masing berumur 37 hingga 42 tahun.
Kesemua mereka dipercayai terlibat bagi membantu siasatan lanjut kes yang disiasat di bawah seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta SPRM serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 tersebut. Menerusi tangkapan ini ketiga-tiga anggota berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini, 30 Januari 2024 sehingga 1 Februari 2024 bagi tujuan siasatan lanjut.
Mohd Yusri turut menyatakan bahawa kertas siasatan kes ini telah diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalaman apabila siasatan sudah dilengkapkan. Malah siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman juga turut akan dijalankan, tambahnya lagi.
Dalam video yang tular semalam, kelihatan seorang anggota trafik mendakwa pasangan terbabit memandu selaju 80 km/j sementara had laju di laluan berkenaan hanyalah 60 km/j lalu mengeluarkan saman. Bagaimanapun, anggota terbabit menawarkan diskaun saman daripada RM300 menjadi RM100 sahaja jika dibayar secara terus kepada dirinya tanpa perlu ke balai polis.
Selepas ‘membayar’ saman terbabit, kelihatan pasangan UK berkenaan agak keliru dengan ‘tindakan memandu melebihi had laju’ berkenaan. Walau bagaimanapun, mereka berpendapat mungkin dengan ‘membayar saman secara terus’ dengan anggota terbabit adalah salah satu opsyen yang ditawarkan dan ia turut menawarkan kadar saman lebih rendah berbanding jika dibayar di balai polis.
Segala yang berlaku dimuat naik di saluran Youtube Tread the Globe milik pasangan dari UK tersebut, di mana mereka sedang menjelajah Malaysia dengan camper van, dan pengalaman itu di dokumentasikan menerusi video yang dimuat naik di saluran Youtube berkenaan.
Polis mengesahkan kejadian ini berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland. Dalam kenyataan yang sama dikeluarkan hari ini, polis turut meminta agar pasangan tersebut tampil memberikan kerjasama agar siasatan dapat dilengkapkan dengan cepat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.