Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) yang boleh dibida menerusi platform dalam talian JPJ eBid. Di mana NPI tersebut adalah siri GOLD yang melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.
Orang ramai boleh membida siri GOLD ini mulai 1 Februari 2024 jam 12 tengahmalam dan bidaam dibuka selama lima hari. Bidaan akan berakhir jam 10 malam pada 5 Februari dan keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaannya ditutup iaitu pada 6 Februari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Untuk membidanya, JPJ telah menetapkan harga minima bagi setiap kategori iaitu RM20,000 untuk Nombor Bernilai Utama (Golden), RM3,000 untuk Nombor Menarik (Attractive), RM800 bagi Nombor Popular dan Nombor Biasa pula RM300. Bermakna, tak kisahlah sekiranya pembida sanggup membida hingga RM1 juta sekali pun untuk mendapatkan mana-mana nombor yang dihajati bagi siri GOLD ini.
Menurut JPJ, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi yang dikeluarkan.
Menteri MOT, Anthony Loke berkata, penawaran NPI siri GOLD ini adalah usaha kementeriannya untuk merealisasikan hasrat kerajaan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FlySISWA.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.