BMW nampak seperti tidak berbuat salah meskipun muncul dengan beberapa rekaan yang kontroversi sejak baru-baru ini kerana masih berjaya mencatat jualan kenderaan premium paling tinggi di dunia buat kali ketiga berturut-turut, dengan jumlah jualan 2,253,835 kenderaan pada tahun 2023.
Seperti yang dilaporkan oleh Automotive News Europe, jumlah ini bersamaan peningkatan 7.3% berbanding tahun 2022, membenarkan BMW mengatasi Mercedes-Benz sekali lagi. Kenderaan elektrik jenama itu juga menyaksikan penerimaan lebih baik, dengan peningkatan jualan sehingga 92%, bersamaan 330,956 unit.
BMW memberitahu, ia menjangka permintaan EV akan terus naik dan meletakkan sasaran menjual setengah juta kenderaan elektrik penuh tahun ini. Secara keseluruhannya, BMW Group menjual 2,555,341 buah kenderaan tahun lepas (naik 6.5%), termasuk daripada MINI dan Rolls-Royce yang berada di bawahnya.
Sementara itu, jualan Mercedes-Benz tidak banyak berubah, iaitu 2,043,800 unit, disebabkan oleh kekurangan komponen sistem hibrid ringkas 48 volt serta masalah bekalan lain. Jualan EV mereka juga gagal menyaingi jumlah yang dicatat oleh BMW, tetapi masih meningkat 73% kepada 222,600 unit. Jualan keseluruhan kumpulan syarikat termasuk van dan model jenama smart juga naik 1.5%, kepada 2,491,600 unit.
Tempat ketiga dirangkul oleh Audi, yang mencatat jualan 1,895,240 buah kenderaan – 17% lebih tinggi berbanding 2022. Daripada jumlah ini, 178,000 adalah EV, dan menunjukkan peningkatan 51%. Di bawah Audi, barulah muncul Tesla dengan catatan jualan 1,808,581 unit (naik 38%) dan kemudiannya diikuti Lexus dengan jumlah jualan 824,258 unit (naik 32%).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.