Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah mengumumkan bahawa bermula esok (1 Februari 2024) hingga 16 Februari ini, pihaknya akan melaksanakan operasi percubaan akhir perkhidmatan LRT di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya sebagai persediaan untuk pembukaan operasi penuh.
“Dengan perubahan ke atas pengoperasian ini, para penumpang tidak perlu lagi turun di Stesen Hang Tuah bagi tujuan mendapatkan tren perantara untuk ke Stesen Masjid Jamek. Namun penumpang masih perlu mendapatkan khidmat bas perantara percuma bagi meneruskan perjalanan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Selain itu, tambahnya, bilangan tren juga bakal ditambah dan kekerapan tren pada waktu puncak juga akan dipertingkatkan dengan masa menunggu 3.5 minit bagi daerah pusat perniagaan dan 7 minit luar daerah pusat perniagaan.
“Pelaksanaan operasi percubaan akhir ini dijalankan sebagai mematuhi piawaian operasi dalam langkah untuk Bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa, pembukaan penuh laluan ini dijangka akan dilaksanakan pada penghujung Februari 2024.
“Kerja-kerja membaik pulih struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya yang telah selesai sepenuhnya tersebut turut melibatkan penukaran beberapa komponen landasan di sekitar kawasan yang terlibat. Ia adalah usaha berterusan pihak Rapid Rail dalam memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang,” kata Rapid Rail lagi.
Dalam masa yang sama, Rapid Rail juga berharap dengan pembukaan semula laluan ini kelak, ia akan dapat mengembalikan keselesaan pengguna dan jumlah penumpang akan dapat ditingkatkan kerana penumpang tidak perlu lagi menukar tren atau menggunakan khidmat bas perantara.
Laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup semenjak 27 Januari 2023 susulan daripada kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang telah menyebabkan tren tidak dapat melalui kawasan berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.