Sime Darby Beyond Auto (SDBA), pengedar eksklusif BYD di Malaysia, meraikan pencapaian tahun 2023 yang cemerlang dengan jenama dari China ini telah muncul sebagai peneraju pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia. Sekali gus memperlihatkan populariti BYD yang tiada tandingan, seiring dengan minat yang semakin bertambah dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengguna pakai kaedah pengangkutan lestari.
Menyambut ketibaan tahun 2024, baru-baru ini SDBA telah menganjurkan acara sambutan Tahun Baharu Cina gilang-gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mendapat sambutan luar biasa, dengan lebih 660 tempahan diterima pada hujung minggu bagi model BYD ATTO 3 dan BYD DOLPHIN. Menerusi acara berkenaan juga, BYD Atto 3 Edisi Terhad Ulangtahun diperkenalkan dan dijual pada harga RM173,800.
Sejajar dengan kejayaan ini, SDBA melancarkan siri promosi menarik, tawaran eksklusif dan kempen hebat dengan kadar faedah 0%. Inisiatif ini dirangka untuk mengekalkan momentum dan memberikan nilai yang tiada tandingan kepada pemandu Malaysia yang mahu beralih kepada EV.
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Asia Tenggara, Sime Darby Motors, berkata, “Pencapaian kami mencatatkan jualan EV tertinggi pada 2023 mencerminkan sokongan dan kepercayaan kukuh yang diberikan oleh pengguna Malaysia terhadap BYD. Rangkaian sokongan lepas jualan kami yang menyeluruh di seluruh negara ialah pembeza penting kejayaan kita. Kami teruja untuk menyediakan perkhidmatan luar biasa dan penjagaan teknikal kepada semua pemilik BYD dan selanjutnya.”
SDBA juga telah pun membuka pra-tempahan bagi BYD SEAL bermula 19 Januari lalu. Bagi pembeli yang berminat, akan dikenakan bayaran tempahan sebanyak RM1,000 yang dimasukkan sekali ke dalam harga keseluruhan kenderaan. Malaysia mendapat Seal dalam tiga varian iaitu Dynamic, Premium dan Performance, tetapi harga sebenarnya masih belum diumum. Dijangkakan Seal akan dijual bermula harga sekitar RM180k untuk varian Dynamic, dengan Premium ER mungkin sekitar RM200k dan Performance sekitar RM220k.
“Dengan kehadiran BYD SEAL yang amat dinanti-nantikan, SDBA kekal komited untuk menggalakkan penggunaan EV di Malaysia dan yakin ini akan mengukuhkan lagi kedudukan BYD sebagai pemimpin dalam sektor automotif negara yang kian berubah,” sambung Jeffrey.
GALERI: BYD Atto 3 Edisi Terhad Ulangtahun di Malaysia
GALERI: BYD Dolphin Premium Extended Range di Malaysia
GALERI: BYD Seal dipertontonkan di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.