Maybank Investment Bank menjangkakan industri automotif Malaysia akan menerima kesan daripada peningkatan kadar cukai perkhidmatan dan pelaksanaan cukai barangan bernilai tinggi (HVGT) yang akan dilaksanakan masing-masing pada bulan Mac dan Mei ini.
Dalam satu nota kajian, bank pelaburan tersebut menyatakan bahawa HVGT boleh memberikan impak kepada jualan kenderaan premium, sementara peningkatan kadar cukai perkhidmatan dari 6% ke 8% dijangka memberi tambahan kepada kos penyelenggaraan, servis serta baik pulih kenderaan, dan juga insurans, sekaligus meningkatkan kos pemilikan kenderaan – lapor Bernama.
Satu faktor lagi yang akan memberi kesan kepada pemain industri adalah mekanisme subsidi bahan api bersasar, yang dijangka dilaksana sekitar separuh kedua tahun ini. Ia berkata, selepas TIV mencatat rekod pertumbuhan dua tahun berturut-turut, tahun ini ia dijangka hanya pada 650,000 unit, iaitu turun 19% berbanding jumlah yang dicatat pada tahun 2023.
Nota kajian tersebut turut menyatakan terdapat dua kunci utama yang perlu dilihat tahun ini, iaitu meningkatkan trend terhadap penerimaan model perniagaan agensi serta mempercepatkan lagi peralihan kepada kenderaan elektrik (EV), seterusnya negara boleh muncul sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik untuk pelaburan terus dari luar (FDI) daripada pengeluar kenderaan global yang mencari tempat untuk menubuhkan ibu pejabat serantau atau hab EV mereka.
Turut dinyatakan, kemasukan FDI dijangka memberikan impak positif jangka masa panjang kepada industri serta kontingen pada kedudukan pemain industri di dalam rangkaian bekalan. Walaupun begitu, ia menambah bahawa pemain tempatan dalam rangkaian pengeluaran dan pengedaran dijangka berhadapan saingan lebih kuat tahun ini dan akan memberikan impak kepada margin mereka.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.