Touch n Go secara rasminya telah mengumumkan pengenalan caj 1% bagi tambah nilai eWallet melalui kad kredit, dengan caj berkenaan akan dikenakan berdasarkan jumlah tambah nilai yang dilakukan. Tambah nilai kredit melalui pindahan DuitNow dan kad debit bagaimanapun tidak dikenakan sebarang caj.
“Langkah ini adalah bagi mengelakkan pindahan daripada baki kad kredit ke akaun bank serta bagi menampung kos tinggi yang terlibat bagi tambah nilai melalui kad kredit yang selama ini ditanggung oleh TNGD sejak pengenalannya. Pengguna digalakkan menggunakan pindahan bank melalui DuitNow yang melibatkan proses yang sama seperti pindahan wang antara akaun bank,” jelas satu kenyataan daripada syarikat itu seperti yang dilapor The Star.
“Sebagai institusi kewangan terbesar yang melayani lebih daripada 20 juta pengguna dengan pengesahan e-KYC, kami perlu mencari keseimbangan yang tepat antara kemudahan, sekuriti dan tanggungan kos jangka panjang syarikat,” jelas CEO Touch n Go Digital, Alan Ni.
Untuk menambah nilai eWallet, pengguna pertama sekali perlu masuk ke dalam aplikasi atau laman web bank mereka, kemudian pilih “Bank Lain” dan selepas itu, pilih pula “Touch n Go eWallet”. Nombor akaun yang digunakan untuk pindahan ini ialah nombor akaun pindahan DuitNow eWallet, yang boleh diperoleh dalam laman tambah nilai aplikasi eWallet pengguna.
Apa-apa jumlah dari RM1 boleh dimasukkan untuk pindahan ke eWallet, dan ini sama saja dengan cara pindahan wang bank. Penerima kemudiannya boleh dimasukkan ke dalam senarai Favourite, dan pengulangan transaksi boleh ditetapkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.