Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan sepuluh anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya disiasat berhubung penemuan wang tunai RM3,753 di dalam beg dan kereta peronda mereka ketika menjalankan sekatan jalan Op Alkohol pada awal pagi Ahad lalu.
Mereka terdiri daripada seorang pegawai berpangkat Inspektor dan sembilan anggota lain-lain pangkat sarjan, koperal, lans koperal dan konstabel. Susulan itu, satu kertas siasatan tatatertib sudah dibuka bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen rasuah atau sebaliknya.
“Kesemua mereka ditukar penugasan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan selesai. Siasatan itu dilakukan hasil dari tindakan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita menjalankan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan anggota yang terbabit dengan penguatkuasaan ini mengikut SOP.
“Berhubung penemuan semalam (kelmarin), kes ini masih dalam siasatan, kita perlu siasat sama ada wang yang ditemukan adalah wang sendiri atau ada elemen lain,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Siasatan itu susulan pemeriksaan oleh pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Bukit Aman ke atas 10 pegawai dan anggota trafik IPD Petaling Jaya yang menjalankan Op Alkohol pada 2.30 pagi tadi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.