Audi Q7 telah pun menerima versi facelift kedua untuk generasi semasa, selepas dinaiktaraf pada 2019. Terkini, pengeluar kereta dari Jerman ini telah pun memperkenalkan SUV tiga barisan tempat duduk yang ditampilkan dengan perubahan terkini.
Kelengkapan pencahayaan bagi Q7 terkini ini menerima lapisan lebih gelap untuk lampu utama, dengan teknologi HD matrix HD, sementara lampu belakang pula dengan unit digital OLED baharu. Lampu hadapan dan lampu belakang baharu ini boleh diaturkan (programmable), di mana ia membenarkan pengguna untuk memilih antara empat pilihan pencahayaan yang ditawarkan menerusi paparan antara muka MMI.
Q7 facelift 2024 ini juga menerima lima rekaan untuk roda, berukuran dari 20- hingga 22-inci. Seperti sebelum ini, suspensi udara adaptif turut diberikan secara standard, sementara rear-wheel steer ditawarkan secara pilihan (standard untuk SQ7). Juga diberikan remote park assist plus, di mana pengguna boleh memberikan arahan menerusi telefon pintar untuk mengawal pergerakan Q7 dalam ruang yang sempit.
Penjana kuasa yang ditawarkan untuk Q7 facelift 2024 ini termasuklah dua enjin diesel dan satu enjin petrol untuk barisan Q7 biasa. Ia bermula dengan 45 TDI quattro bersama padanan enjin 3.0L turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa 231 PS dan 500 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.1 saat, dan kelajuan maksimum cecah 226 km/j.
Ia turut disertai oleh 50 TDI quattro, yang menampilkan enjin dipertingkatkan dengan kuasa 241 PS dan 600 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 241 km/j. Kedua-dua penjana kuasa diesel ini turut disertai oleh varian 55 TFSI yang ditampilkan dengan enjin 3.0L pengecas turbo petrol V6 dengan hamburan kuasa 340 PS dan 500 Nm, membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.6 saat dan kelajuan maksimum dihadkan hingga 250 km/j.
Kesemua enjin enam-silinder bagi barisan Q7 facelift 2024 ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda, dan disepadukan dengan sistem mild-hybrid 48-voltan dengan bateri lithium-ion dan belt-alternator starter yang membolehkan enjin ‘dimatikan’ sehingga 40 saat, antara 55 dan 160 km/j.
Kemaskini bagi infotainmen untuk barisan Q7 facelift 2024 ini termasuklah penggunaan terus menerusi aplikasi seperti Spotify atau Amazon Music, sementara gedung dalam talian menawarkan beberapa pilihan lain bagi MIB 3 iaitu kit infotainmen modular generasi ketiga.
Selain itu, SUV ini juga diberikan paparan instrumen pemandu yang dinaiktaraf bagi sistem bantuan pemanduan, di mana kokpit maya Audi kinu menunjukkan amaran menukar lorong, pengguna jalan raya yang lain (trak, kereta dan motosikal), amaran jarak, bantuan persimpangan, dan informasi lampu isyarat secara dalam talian dalam definisi tinggi.
Barisan Q7 facelift biasa ini turut disertai oleh varian yang lebih padu iaitu SQ7, yang menampilkan enjin 4.0 liter V8 biturbo petrol dengan hamburan kuasa 507 PS dan tork 770 Nm, dipadankan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 4.1 saat dan kelajuan maksimum dihadkan hingga 250 km/j.
Bagi imejnya, ia ada sedikit perbezaan dengan Q7 biasa, di mana SQ7 diberikan sentuhan wajah yang lebih garang dengan perumah cermin luaran ala-aluminium, gril Singleframe dengan spoiler hadapan dan diffuser belakang yang direka semula; turut ditawarkan dengan pakej optik Black dan Black Plus.
Seperti sebelum ini, SQ7 juga menerima penyahaktifan silinder untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan senibina elektrikal 48-voltan yang menyokong electromechanical active roll stabilisation (eAWS) untuk mengurangkan olengan badan sewaktu melalui selekoh.
SQ7 facelift 2024 diberikan roda aloi 20-inci dengan balutan tayar 285/45 secara standard, sementara unit yang lebih besar berukuran 21- hingga 22-inci turut ditawarkan sebagai pilihan. Cakera brek untuk SQ7 2024 berukuran 400 mm di hadapan dan 350 mm untuk belakang, dengan kaliper berwarna hitam secara standard atau merah sebagai pilihan.
Di Eropah, Audi Q7 facelift 2024 dijual pada harga bermula 79,300 euros (RM406,641) untuk 45 TDI quattro, sementara 55 TFSI quattro janaan petrol berharga bermula 82,500 euros (RM423,050). Sementara untuk SQ7 facelift ditawarkan pada harga bermula 112,000 euros (RM574,322).
Audi Q7 facelift 2024
- The V6 TDI range includes two performance levels, the 45 TDI and the 50 TDI. They deliver 170 kW (231 hp) with 500 Newton meters or 210 kW (286 hp) and 600 Newton meters.
- For the first time, customers can choose one of four light signatures for the digital OLED rear lights.
Audi SQ7 facelift 2024
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.