Honda BR-V N7X Edition 2024 dilancarkan di Indonesia – tiga varian; sentuhan penggayaan unik; dari RM97k

Honda BR-V N7X Edition 2024 dilancarkan di Indonesia – tiga varian; sentuhan penggayaan unik; dari RM97k

Menerusi penganjuran acara Indonesia International Motor Show (IIMS) tahun ini, Honda memperkenalkan BR-V N7X Edition baharu, di mana ia ditampilkan dengan beberapa perubahan estetika yang diinspirasi berdasarkan konsep yang dipertontonkan menerusi crossover tiga barisan tempat duduk generasi kedua ini pada tiga tahun yang lalu. Menurut Honda, N7X bermakna ‘New 7-Seater eXcitement’.

N7X Edition ditawarkan dengan tiga varian, bermula dengan E CVT berharga 319.4 juta rupiah (RM97,472). Diikuti dengan Prestige CVT berharga 343.4 juta rupiah (RM104,797) dan varian tertinggi Prestige yang dilengkapi Honda Sensing yang ditawarkan pada harga 363.4 juta rupiah (RM110,911).

Dengan harga yang agak premium itu, N7X Edition ditampilkan dengan gril hadapan krom gelap baharu bersama lencana spesifik varian, kemasan krom pada lampu kabus (varian Prestige sahaja), dan kit aero yang merangkumi spoiler bawah untuk hadapan dan belakang serta skirt sisi. Manakala cermin pintu, pemegang pintu, antena shark fin, tailgate spoiler dan roda 17-inci diberikan kemasan hitam.

Tambahan kepada sentuhan luarannya, ia juga diberikan kemasan warna Sand Khaki Pearl, eksklusif untuk N7X Edition ini. Pilihan warna lain termasuk Premium Opal White Pearl, Crystal Black Pearl dan Meteoroid Grey Metallic.

Di sebalik perubahan estetika itu, banyak ciri lain bagi N7X Edition masih sama dengan barisan BR-V biasa. Ini termasuklah enjin 1.5 liter i-VTEC empat-silinder DOHC yang mampu memberikan kuasa hingga 121 PS pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, yang disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.

Lampu utama LED merupakan ciri standard untuk BR-V, namun hanya varian tertinggi menerima fungsi on/off automatik. Manakala Prestige dengan Honda Sensing merupakan satu-satunya varian yang diberikan sistem bantuan pemandu termasuk LaneWatch, brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, bantuan pemusatan lorong dan kepekaan ketibaan hadapan.

Manakala E CVT didatangkan dengan remote engine start, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, paparan pelbagai-info 4.2-inci, unit utama skrin sesentuh 7-inci, upholstery fabrik, empat beg udara, kamera undur dan pendingin hawa automatik. Bagi varian Prestige ke atas, ciri tambahan termasuk upholstery kulit, dua lagi beg udara (kesemuanya enam unit), serta tombol gear dan roda stereng balutan kulit.

Malaysia hanya menerima BR-V generasi pertama, dan kini digantikan dengan model yang lebih kecil iaitu WR-V. Generasi keduanya pertama kali dperkenalkan di Indonesia pada September 2021 dan kemudian ia dipasarkan pula di Thailand dan Filipina.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required