Kerajaan mengarahkan pengusaha industri pengecasan kenderaan elektrik (EV) agar mematuhi semua syarat pelesenan daripada Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk ketetapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, selain itu, agensi kerajaan yang terbabit diarahkan menyelaras dan memudahcara peraturan berkaitan termasuk berkaitan dengan hal pelesenan bagi memastikan pembangunan serta pengoperasian stesen pengecas EV di seluruh negara berjalan dengan lancar, laporan Berita Harian.
“Kerajaan mengambil maklum akan cabaran semasa yang dihadapi oleh pihak penyedia perkhidmatan pengecasan EV dan saya telah mengarahkan agensi berkaitan menyelaras dan memudahcara. Ini akan membantu menyokong pembangunan ekosistem EV secara holistik, tanpa menjejaskan aspek keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (National EV Steering Commitee – NEVSC) yang pertama bagi 2024.
Hadir sama pada Mesyuarat NEVSC ialah Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Menerusi mesyuarat tersebut, perkara lain yang turut dibincangkan ialah berkaitan usaha menambahbaik prosedur dan pelesenan stesen pengecas EV.
Kenyataan tersebut turut menyebut bagi menambah bilangan stesen pengecasan EV di lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut bersetuju untuk memudahcara proses membangunkan stesen pengecas di sepanjang Lebuhraya PLUS. Ia termasuklah mengenalpasti lokasi strategik di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah di Lebuhraya PLUS.
“Selain itu, kerajaan meminta agar pembekalan kuasa elektrik di lokasi pembangunan pengecasan EV yang diluluskan di R&R adalah sentiasa mencukupi dan pembangunan sub-stesen baharu disegerakan di lokasi yang diperlukan,” katanya.
Turut dimaklumkan bahawa Tenaga Nasional Bhd (TNB) pula sedang meneliti kaedah penyumberan bekalan tenaga dan penggunaan tenaga mengikut waktu untuk menggalakkan aktiviti pengecasan EV menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).
Dalam masa yang sama, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula memaklumkan selain aktiviti pengecasan EV menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, kerajaan juga menyambut baik cadangan untuk menggalakkan model perniagaan baharu bagi mengoptimumkan pengecasan EV pada waktu penggunaan grid yang rendah.
“Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa Northport (Malaysia) Bhd telah membangkitkan isu berkaitan risiko keselamatan EV semasa pengendalian dalam aspek logistik. Oleh itu, mesyuarat bersetuju supaya garis panduan amalan baik berkenaan tatacara pengendalian EV semasa urusan logistik disediakan dalam tempoh enam bulan sebagai rujukan kepada industri,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.