Harga bahan api tanpa subsidi, seperti Petron Blaze 100 dan Shell V-Power Racing memang dijangka menjadi lebih mahal. Dan, perkara ini memang sudah pernah berlaku: harga bagi kedua-dua bahan api yang dinyatakan ini masing-masing pernah mencecah harga RM5.60 dan RM6.20 seliter pada 2022. Harga runcit bagi kedua-dua minyak ini disandarkan kepada harga RON97, dan diselaraskan untuk naik atau turun bergantung kepada RON97.
Dalam kemaskini harga runcit bahan api terkini minggu lalu (15-21 Februari), Petron Blaze 100 dijual pada harga RM5.00 seliter, manakala Shell V-Power Racing dengan harga RM6.10 seliter. Blaze 100 hanya melibatkan kenaikan kecil daripada harga RM4.90 seliter yang dikenakan sejak beberapa bulan lalu.
Bagi V-Power Racing, harganya berada sekitar lebih RM6 sejak kenaikan harga 60 sen daripada RM5.80 kepada RM6.40 seliter pada Disember tahun lalu.
Dengan harga minyak mentah yang kini menurun berbanding tempoh pertengahan 2022 dahulu dan lebih stabil harganya, mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa Blaze 100 dan V-Power Racing masih dijual dengan harga yang tinggi sebegitu. Selain harga bahan api khusus ini yang ditentukan sendiri oleh pengeluarnya, prestasi nilai mata wang ringgit untuk tukaran wang asing juga memainkan peranan dalam menjadikannya harga kedua-duanya masih tinggi dan tidak diturunkan.
Dalam keadaan seperti ini, adakah masih ramai yang menggunakan minyak premium yang lebih mahal itu, terutama untuk kereta-kereta prestasi tinggi dan mewah? Nanti, setelah subsidi minyak ditarik balik dan hanya diberikan secara bersasar, harga untuk bahan api premium ini seharusnya tidak akan banyak berubah seperti sekarang kerana ia sudah mengikut harga pasaran semasa. Tapi itu kita tunggu perkembangannya kelak untuk dipastikan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.