Pembekal solusi keterhubungan mobiliti ACO Tech, pembekal penyelesaian rantaian blok (blockchain) Geno dan juga Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) hari ini telahpun menandatangani satu Memorandum Kerjasama (MoC) bersama bagi meneroka penggunaan penyelesaian rantaian blok bagi infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
Kenyataan bersama ketiga-tiga pihak yang dikeluarkan hari ini menyebut bahawa MoC ini adalah bertujuan untuk membuka jalan untuk penerokaan penyelesaian rantaian blok termasuk kontrak pintar, pengurusan jejak digital rantaian bekalan, penyelesaian tokenomik dan teknologi perlindungan privasi bagi melengkapkan penyelesaian ACO Tech untuk Platfom Perkhidmatan Mobiliti Elektrik (EMSP).
“Usaha ini boleh memastikan privasi dan hak milik data, membolehkan pengewangan data, dan memanfaatkan pelabur strategik melalui pelaburan jangka panjang. EMSP adalah teras Visi Mobiliti Terhubung Kerajaan untuk membantu memperkasa pembangunan infrastruktur EV di Malaysia,” tulis kenyataan tersebut dan menambah bahawa dengan kecekapan dan keupayaan bersama ACO Tech, Geno, dan MARii dapat menangani kebimbangan berkaitan pemilikan EV seperti kekurangan port pengecasan dan kadar pengecasan yang tidak konsisten.
“Penggunaan penyelesaian teknologi rantaian blok memperkasakan pengeluar EV, penyedia perkhidmatan, dan pemilik/pengguna untuk berinteraksi secara lebih interaktif melalui sistem lejar tidak berpusat yang tidak boleh disunting. Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kos, meningkatkan pengalaman dan keyakinan pengguna, serta membentuk rekod penjejakan dan penyelenggaraan yang lancar. Selain itu, ia memudahkan perkongsian tenaga dan pengecas, memastikan ketelusan sepanjang kitaran hidup produk dan perkhidmatan,” tulis kenyataan itu lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech Encik Li Pu berkata, “Kami teruja dengan prospek pertumbuhan sektor mobiliti di Malaysia dengan adanya sokongan Kerajaan dan polisi yang progresif. Sebagai pembekal penyelesaian mobiliti pintar yang utama, ACO Tech bersedia untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran kami serta menyokong semua pihak berkepentingan dalam mencapai matlamat negara. Kami yakin kerjasama seperti ini adalah langkah ke hadapan dalam pemerkasaan ekosistem EV yang komprehensif dan kondusif untuk Malaysia, dengan penekanan pada keselamatan. Dengan menangani cabaran dan memanfaatkan peluang, Malaysia dapat memacu revolusi EV di Asia Tenggara.”
“Kerjasama kami dengan ACO Tech, sebuah syarikat usaha sama antara PROTON, ECARX dan Altel Communications, dan Geno, merupakan langkah penting yang dapat mencorak masa depan ekosistem EV di Malaysia. Dengan meneroka penyelesaian rantaian blok, kita tidak hanya menangani cabaran semasa dalam sektor EV tetapi juga membina landasan untuk infrastruktur yang selamat dan boleh dikembangkan selaras dengan Dasar Automotif Kebangsaan 2020. Kami berhasrat untuk menetapkan standard industri baharu, memajukan amalan lestari serta inovasi yang mengutamakan pengguna melalui gabungan keupayaan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MARii Encik Azrul Reza Aziz.
“Inisiatif ini merupakan aplikasi industri rantaian blok yang pertama. Matlamat utamanya adalah untuk memudahkan transformasi bagi perusahaan yang terlibat ke arah model yang berfokus pada perkhidmatan. Langkah strategik ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan dengan pelanggan pengguna akhir, membolehkan interaksi yang lebih awal, mendalam, dan berkekalan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Geno Encik Zhang Yi Ian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.